WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, beliau akan membuat panggilan telefon untuk menghentikan pertempuran antara Thailand dan Kemboja dan menyelamatkan gencatan senjata yang beliau rundingkan pada bulan Julai.
Thailand dan Kemboja saling menuduh satu sama lain menyerang orang awam dalam serangan di sempadan yang masih berlarutan hari ini.
Kedua-dua negara Asia Tenggara itu saling menuding jari atas pertempuran yang bermula sejak Isnin dan masih berselisih mengenai penyelesaian diplomatik terhadap ketegangan sempadan.
Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow berkata, beliau tidak melihat potensi untuk rundingan, menegaskan keadaan tidak sesuai untuk pengantaraan pihak ketiga.
Sementara itu, seorang penasihat kanan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet memberitahu Reuters, negaranya bersedia untuk berbincang pada bila-bila masa.
Berucap di satu perhimpunan di Pennsylvania, Trump menyenaraikan beberapa peperangan yang beliau bantu hentikan, termasuk antara Pakistan dan India, serta Israel dan Iran, sebelum mengulas mengenai konflik semula di Asia Tenggara.
“Esok saya terpaksa membuat panggilan telefon. Siapa lagi yang boleh mengakatakan ‘Saya akan buat panggilan telefon dan hentikan perang antara dua negara yang sangat berkuasa, Thailand dan Kemboja’,” katanya.
Apabila ditanya tentang kemungkinan Trump campur tangan lagi, jurucakap kerajaan Kemboja, Pen Bona berkata pendirian Phnom Penh kekal sama, iaitu hanya mahukan keamanan.










