Tiga kanak-kanak antara empat maut ditembak di California - Utusan Malaysia

Tiga kanak-kanak antara empat maut ditembak di California

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Empat individu termasuk tiga kanak-kanak maut manakala 11 lagi cedera dalam kejadian tembakan di sebuah parti hari jadi di Stockton, California, lewat Sabtu dalam insiden yang disifatkan pihak berkuasa sebagai ‘serangan disasarkan’.

Jurucakap Pejabat Sheriff Daerah San Joaquin, Heather Brent, berkata tembakan berlaku di dalam sebuah dewan bankuet di bandar itu, terletak di timur laut San Francisco, kira-kira pukul 6 petang ketika majlis berlangsung dengan kehadiran antara 100 hingga 150 tetamu.

Menurut Brent, mangsa maut masing-masing berusia lapan, sembilan, 14 dan 21 tahun. Kesemua 11 mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital, namun butiran mengenai tahap kecederaan mereka belum didedahkan.

Brent berkata siasatan awal menunjukkan insiden itu berkemungkinan disasarkan terhadap individu atau kumpulan tertentu. Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada kejadian itu berkaitan aktiviti kumpulan samseng, beliau menegaskan semua kemungkinan masih sedang disiasat.

Setakat ini, tiada suspek dikenal pasti atau ditahan, dan polis tidak menolak kemungkinan terdapat lebih daripada seorang penembak. Pihak sheriff turut menggesa orang awam yang mempunyai maklumat atau rakaman video kejadian tampil membantu siasatan.

Gabenor California, Gavin Newsom, telah dimaklumkan mengenai insiden itu. Mengikut rekod Gun Violence Archive, kejadian tersebut menjadikan jumlah insiden tembakan besar-besaran di Amerika Syarikat tahun ini meningkat kepada 504, ditakrifkan sebagai insiden melibatkan empat atau lebih individu ditembak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×