Thailand rampas aset rangkaian scam siber bernilai RM1.2 bilion

Thailand rampas aset rangkaian scam siber bernilai RM1.2 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Thailand merampas lebih AS$300 juta (RM1.2 bilion) dalam bentuk aset dikaitkan dengan rangkaian jenayah yang menjalankan pusat penipuan bernilai berbilion dolar di Asia Tenggara.

Menurut Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul, pengumuman itu susulan tindakan pihak berkuasa di Asia, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) terhadap Prince Holding Group dari Kemboja serta rangkaian perniagaannya di seluruh dunia, dengan penyitaan dan pembekuan aset bernilai berbilion dolar.

Pada Oktober lalu, pihak berkuasa AS mendakwa pengasas Prince yang berasal dari China, Chen Zhi, dengan tuduhan mengetuai kem tahanan buruh paksa di Kemboja yang memperdagangkan pekerja untuk menjalankan penipuan dalam talian.

Anutin berkata, suspek penipu yang disasar dengan rampasan aset bernilai lebih AS$300 juta (RM1.2 bilion) adalah antara yang besar termasuk Chen, seorang senator Kemboja dan dua warga Thailand.

“Semua yang bertanggungjawab mesti dibawa ke muka pengadilan menurut undang-undang,” katanya.

Pejabat Anti-Pengubahan Wang Haram Thailand (AMLO) pada Selasa memaklumkan merampas kira-kira 100 barangan milik Chen yang bernilai 373 juta baht (RM48.15 juta), termasuk tanah, wang tunai, barangan mewah dan barang kemas.

Pihak berkuasa turut merampas aset hampir AS$15 juta (RM61.83 juta) daripada Kok An, seorang senator dan ahli perniagaan Kemboja yang juga sekutu bekas pemimpin negara itu, Hun Sen.

Sekitar AS$290 juta (RM1.19 bilion) lagi aset dirampas daripada dua warga Thailand yang disyaki mempunyai kaitan dengan operasi penipuan tersebut. Anutin tidak menjelaskan bila rampasan itu dibuat.

Operasi scam siber dilaporkan berkembang pesat di Asia Tenggara, sering beroperasi dari bangunan pejabat biasa atau gudang di mana penjenayah siber menyasarkan mangsa dari seluruh dunia.

Sebahagian pekerja penipuan ke pusat siber tersebut secara sukarela, manakala yang lain pula diperdagangkan dan dipaksa bekerja dalam keadaan seperti penjara.

Britain turut membekukan aset perniagaan dan hartanah di London bernilai lebih AS$130 juta (RM535 juta) yang dikaitkan dengan rangkaian Chen, manakala Taiwan, Singapura dan Hong Kong masing-masing melancarkan rampasan setinggi AS$350 juta (RM1.4 bilion).

Jabatan Kehakiman AS pada Oktober menggelar Prince Group sebagai antara organisasi jenayah rentas negara terbesar di Asia dan merampas sekitar AS$15 bilion (RM61.8 bilion) bitcoin yang didakwa hasil kegiatan jenayah rangkaian tersebut. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN