GAZA: Nasib Gaza seolah-olah semakin dipinggirkan, walaupun peperangan di wilayah itu menjadi pencetus kepada konflik berpanjangan di Asia Barat sehingga membawa kepada perang Amerika Syarikat (AS)-Israel dan Iran.
Tumpuan yang semakin berkurangan terhadap Gaza semakin ketara apabila wilayah itu berada di tengah rangkaian peristiwa yang mencetuskan konflik paling berbahaya di Asia Barat dalam beberapa dekad.
“Sejak Amerika berperang dengan Iran, seluruh dunia sudah melupakan Gaza dan tragedinya. Kami tidak lagi mempunyai sesiapa yang berdiri bersama.
“Kami lemah dan ditindas, malah Israel melakukan apa sahaja yang diinginkan, sementara tiada siapa di dunia yang bertindak,” kata rakyat Palestin, Ahmed Jamali, 53, kepada AFP dari kem pelarian di Gaza.
Serangan besar-besaran Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 mencetuskan tindak balas ketenteraan yang dahsyat di Gaza, dan mengheret sekutu disokong Teheran seperti Hizbullah di Lubnan serta Houthi di Yemen, sebelum akhirnya melibatkan Iran.
Pertempuran yang bermula sebagai perang tempatan antara Israel-Hamas berkembang menjadi konflik serantau, dan seterusnya mencetuskan konfrontasi langsung antara musuh tradisi Teheran serta Washington.
Sehingga kini, Gaza masih terperangkap dalam krisis kemanusiaan yang teruk, dan walaupun gencatan senjata rapuh dicapai antara Israel-Hamas pada Oktober 2025, usaha untuk menamatkan perang secara kekal masih terbantut selama beberapa bulan.
Penganalisis dari Majlis Hubungan Luar Eropah, Hugh Lovatt, berkata tumpuan diplomatik juga kian berubah, apabila banyak pihak antarabangsa semakin hilang minat terhadap isu Gaza.
“Gaza secara beransur-ansur semakin hilang daripada perhatian antarabangsa,” kata Lovatt.
Setakat ini, tiada pasukan penstabilan antarabangsa atau mekanisme peralihan yang kukuh diwujudkan sejak gencatan senjata berkuat kuasa, walaupun kedua-duanya digariskan dalam rangka kerja yang ditaja AS untuk menghentikan pertempuran.
Dengan rundingan diplomatik yang masih buntu, kebimbangan semakin meningkat bahawa pertempuran boleh kembali tercetus.
Media Israel melaporkan, persiapan ketenteraan sedang dijalankan terhadap kemungkinan serangan baharu ke atas Hamas sekiranya rundingan politik gagal.










