BANGKOK: Ketegangan di sempadan Thailand–Kemboja mencapai tahap kritikal apabila Thailand mengerahkan jet pejuang F-16 untuk menyerang tiga kedudukan tentera Kemboja susulan pertempuran yang terus memuncak sejak semalam.
Tindakan itu diambil selepas beberapa siri serangan artileri dan munisi udara oleh Kemboja mengorbankan anggota tentera Thailand di Pangkalan Anupong.
Jurucakap Tentera Darat Thailand, Mejar Jeneral Winthai Suvaree berkata, pertempuran baharu tercetus seawal pukul 5 pagi di kawasan Chong An Ma, Nam Yuen, Ubon Ratchathani apabila tentera Kemboja melepaskan tembakan menggunakan senjata ringan dan senjata sokongan tidak langsung.
Pasukan Thailand bertindak balas mengikut peraturan pertempuran dengan menggunakan jenis senjata yang sama.
Sekitar pukul 7 pagi, satu lagi serangan berlaku di kawasan Chong Bok yang turut terletak dalam daerah sama, mengakibatkan seorang anggota tentera Thailand terbunuh dan empat lagi cedera selepas ditembak menggunakan senjata sokongan.
Winthai berkata insiden tersebut memaksa Thailand bertindak lebih agresif bagi mengekang kedudukan tembakan Kemboja.
Susulan ancaman berterusan, pesawat F-16 Tentera Udara Diraja Thailand digunakan untuk melakukan serangan udara terhadap tiga kedudukan dikenal pasti iaitu di Chong An Ma, Prasat Khana dan sebuah tapak menara radio berhampiran Preah Vihear.
Kebanyakan lokasi tersebut dipercayai pos arahan dan titik sokongan tembakan yang digunakan untuk menyerang wilayah Thailand.
Pada masa sama, pasukan darat di bawah Kawasan Tentera Kedua (Suranaree Task Force) dan Kawasan Tentera Pertama (Burapha Task Force) telah digerakkan untuk membantu pemindahan penduduk awam di beberapa kawasan sempadan yang berisiko, selaras dengan pelan kecemasan yang telah digariskan.
Pihak tentera Thailand memaklumkan bahawa operasi udara dan darat masih diteruskan ketika ini, manakala perkembangan lanjut akan diumumkan bergantung kepada situasi semasa di medan pertempuran.










