Teksi rentas sempadan Singapura-Malaysia dibenar hantar penumpang ke destinasi pilihan

Teksi rentas sempadan Singapura-Malaysia dibenar hantar penumpang ke destinasi pilihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Singapura dan Malaysia akan membenarkan perjalanan teksi rentas sempadan secara terus ke destinasi di bawah peraturan baharu yang membolehkan teksi berlesen dari kedua-dua negara menghantar penumpang ke mana-mana lokasi di negara jiran.

Menurut laporan CNA, perubahan itu diumumkan pada Jumaat melalui kenyataan bersama oleh kementerian pengangkutan kedua-dua negara. Ia merupakan sebahagian daripada pakej penambahbaikan yang turut merangkumi peningkatan kuota teksi rentas sempadan berlesen daripada 200 kepada 500 buah.

Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Jeffrey Siow bertemu Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke pada Khamis sempena acara 12th Singapore-Malaysia Leaders’ Retreat untuk membincangkan usaha berterusan memperkukuh hubungan pengangkutan kedua-dua negara.

Dalam kenyataan itu, kedua-dua menteri mengakui wujud permintaan tinggi terhadap perkhidmatan pengangkutan rentas sempadan yang lebih mudah dan bersetuju meningkatkan sistem bas serta teksi bagi memenuhi permintaan serta mengekang perkhidmatan haram.

Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia (APAD) akan meneruskan perbincangan untuk memperinci penambahbaikan Skim Teksi Rentas Sempadan.

Di bawah peraturan baharu ini, teksi asing boleh menghantar penumpang ke mana-mana lokasi di luar negara asal mereka.

Namun, mereka hanya dibenarkan mengambil penumpang di tempat pengambilan yang ditetapkan bagi mengelakkan penyediaan perkhidmatan teksi tempatan secara tidak sah.

Ketika ini, teksi rentas sempadan hanya boleh menurunkan penumpang di lokasi tertentu iaitu Larkin Sentral di Johor Bahru bagi teksi Singapura dan Terminal Ban San Street di Singapura bagi teksi Malaysia.

Kedua-dua kementerian turut memaklumkan bilangan lokasi pengambilan untuk tempahan melalui aplikasi e-hailing akan ditambah secara berperingkat. Bekalan teksi rentas sempadan berlesen juga akan ditambah.

“Sebagai permulaan, setiap negara akan menyediakan tambahan kuota sebanyak 100, dengan keutamaan kepada kenderaan lebih besar dan premium bagi memenuhi keperluan kumpulan besar serta pelancong korporat,” menurut kenyataan bersama itu.

Semua teksi berlesen juga perlu mempunyai tanda pengecam yang jelas melalui warna, plat kenderaan kalis gangguan serta memasang unit ERP2 Singapura untuk kemasukan ke negara itu.

Malaysia dan Singapura juga akan bekerjasama bagi mewujudkan rangka kerja kawal selia untuk platform e-hailing rentas sempadan, selain menambah baik perlindungan insurans teksi rentas sempadan dan mempercepatkan proses tuntutan jika berlaku kemalangan.

Bagi perkhidmatan bas rentas sempadan, kedua-dua menteri bersetuju untuk menyelaraskan rejim kawal selia demi meningkatkan perkhidmatan bas bagi tujuan pelancongan.

“Penambahbaikan serta prinsip yang dipersetujui ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam meningkatkan hubungan pengangkutan rentas sempadan dan pengalaman perjalanan antara Malaysia dan Singapura,” kata kenyataan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN