NEW YORK: Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, gagal dalam rayuan terakhirnya untuk membatalkan sabitan bersalah di mahkamah persekutuan Amerika Syarikat (AS) berhubung peranannya dalam skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Sirkit Kedua AS di Manhattan pada 5 Disember lalu sebulat suara menolak rayuan Ng, 51, yang mendakwa perbicaraannya pada 2022 tidak adil.
Dalam penghakiman setebal 50 muka surat, Hakim Sirkit Amalya Kearse menyatakan mahkamah tidak mendapati hujah Ng cukup meyakinkan untuk mengetepikan sabitan tersebut.
Ng, satu-satunya pegawai Goldman Sachs yang didakwa di AS berkaitan skandal 1MDB, disabitkan dengan tiga pertuduhan termasuk bersubahat melanggar undang-undang antirasuah AS serta pengubahan wang haram. Pada 2022, juri persekutuan di Brooklyn menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadapnya.
Dalam rayuannya, Ng berhujah hak pembelaannya dinafikan apabila mahkamah tidak membenarkan juri mendengar rakaman video perbualan antara isterinya dan bekas bosnya, Tim Leissner. Rakaman itu, dakwanya, mampu membuktikan bahawa bayaran AS$35 juta diterimanya bukan sogokan tetapi berkaitan pelaburan antara kedua-dua isteri mereka.
Namun, mahkamah rayuan memutuskan rakaman berkenaan tidak mencukupi untuk menjustifikasikan pembatalan sabitan. Rayuan tambahan Ng, termasuk dakwaan bahawa kerajaan AS melanggar perjanjian ekstradisi dan kes sepatutnya tidak dibicara di Brooklyn, turut ditolak.
Menurut pendakwa raya, Ng bersama Leissner dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low), merancang dan melaksanakan skim penipuan melibatkan pengeluaran bon berbilion dolar oleh 1MDB. Leissner mengaku bersalah dan memperoleh AS$73.4 juta, manakala Ng menerima AS$35.1 juta. Jho Low pula didakwa menyeleweng AS$1.42 bilion serta membayar rasuah kepada pegawai di Malaysia dan Abu Dhabi bagi mendapatkan kelulusan urus niaga yang diatur Goldman Sachs.
Ng dibenarkan pulang ke Malaysia pada 2023 untuk membantu siasatan pihak berkuasa tempatan sebelum dijadual menjalani hukuman penjara di AS.
Peguam yang mewakili Ng setakat ini belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung keputusan terbaharu tersebut.










