Ribuan rakyat Israel mohon kewarganegaraan Portugal - Utusan Malaysia

Ribuan rakyat Israel mohon kewarganegaraan Portugal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Ribuan rakyat Israel dilaporkan beratur panjang di hadapan Kedutaan Portugal di Tel Aviv pada Sabtu bagi memohon kewarganegaraan Portugal, lapor portal Times of Israel, menurut Anadolu

Orang ramai mula beratur sejak awal pagi di hadapan kedutaan tersebut untuk membuat permohonan.

Hari temujanji khas secara bersemuka yang dianjurkan kedutaan dinamakan ‘kembali ke zaman dahulu’ itu bertujuan mengatasi kesesakan serius dalam sistem tempahan dalam talian, dan menerima sambutan luar biasa.

Laporan itu menyebut barisan panjang yang menjulur dari pintu masuk kedutaan hingga ke kawasan parkir bawah tanah terdiri daripada mereka yang mahu memohon kewarganegaraan atau memperbaharui pasport Portugal.

Portugal, melalui undang-undang yang digubal pada 2015, memberikan hak kepada keturunan Yahudi Sephardic yang pernah dianiaya semasa Zaman Inkuisisi pada abad ke-16 untuk memohon kewarganegaraan.

Namun disebabkan jumlah permohonan yang terlalu tinggi, kerajaan Portugal pada 2023 mengumumkan bahawa tujuan undang-undang itu telah tercapai dan memperkenalkan syarat yang lebih ketat.

Dilaporkan rakyat Israel berminat mendapatkan kewarganegaraan Portugal kerana pelbagai kelebihan, termasuk kemudahan bergerak bebas dalam negara-negara Kesatuan Eropah (EU), kos sara hidup yang lebih rendah, peluang kemasukan lebih mudah ke universiti Eropah serta yuran pengajian yang lebih rendah.

Sejak Israel melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza pada Oktober 2023, jumlah rakyat Israel yang mencari pasport kedua meningkat mendadak.

Puluhan ribu telah meninggalkan negara itu, dan minat terhadap kewarganegaraan Portugal terus meningkat. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN