MANILA: Kedudukan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. goyah selepas lebih 20,000 penduduk berarak di Manila menuntut beliau meletak jawatan berhubung skandal rasuah berkaitan perbelanjaan kerajaan untuk projek kawalan banjir.
Perhimpunan yang dianjurkan Gerakan Rakyat Menentang Rasuah (KBKK) bermula di Taman Negara Luneta sebelum peserta berarak menuju ke istana Presiden.
Protes terbaharu itu susulan kemarahan rakyat terhadap skandal ‘satu trilion Peso’, di mana ahli politik berpengaruh, termasuk sekutu Marcos Jr. dituduh menerima rasuah bernilai berbilion peso bagi projek kawalan banjir yang gagal dan langsung tidak dibina.
Timbalan Presiden, Sara Duterte yang kini berkonflik dengan Marcos Jr. turut berdepan dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan dalam kes berasingan.
Lebih 12,000 anggota polis dikerahkan di Manila, dengan semua laluan ke Istana Malacanang disekat menggunakan kawat berduri dan kontena bagi menghalang peserta protes dari pintu istana.
Awal bulan ini, bekas ahli Parlimen, Zaldy Co mendakwa Marcos menerima lebih 50 bilion peso (RM3.5 bilion) dalam bentuk komisen daripada projek infrastruktur sejak 2022, dan mengarahkan penyisipan 100 bilion peso (RM7.05 bilion) untuk projek ‘hantu’ dalam bajet 2025.
Co juga mendakwa pada 2024, beliau secara peribadi menghantar beg bimbit berisi satu bilion peso (RM70.6 juta) ke kediaman Marcos Jr selain dituduh menyeleweng berbilion peso daripada projek yang sama dan diburu sejak Julai, dengan Jepun menjadi lokasi terakhir yang diketahui.
Namun, Marcos Jr. menafikan dakwaan tersebut dan menggesa Co segera pulang bagi membuktikan dakwaannya.
Marcos Jr. membangkitkan kebimbangan terhadap skandal rasuah itu pada Julai semasa ucapan dasar tahunan kepada Kongres dan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Infrastruktur (ICI) untuk menyiasat pegawai yang terlibat rasuah.
Sebanyak 9,855 projek kawalan banjir bernilai lebih 545 bilion peso (AS$37.2 bilion) disiasat dan Menteri Kewangan memaklumkan kepada ahli Parlimen pada September, sehingga 118.5 bilion peso (RM8.26 bilion) mungkin hilang akibat rasuah sejak 2023.










