HONG KONG: Pilihan raya bagi Dewan Perundangan Hong Kong mencatatkan kehadiran pengundi hampir pada tahap terendah, iaitu 31.9 peratus, susulan kemarahan rakyat terhadap kebakaran paling buruk dalam hampir lapan dekad di Wang Fuk Court yang meragut 159 nyawa.
Pilihan raya ini hanya membabitkan 90 kerusi, dengan 20 kerusi dipilih secara langsung, manakala kempen politik terpaksa dihentikan seketika selepas tragedi itu.
Eksekutif Hong Kong, John Lee menegaskan pengundian perlu diteruskan bagi mengekalkan kestabilan dan memastikan usaha pemulihan berjalan lancar.
Agensi antirasuah bandar itu menahan empat lelaki berhubung hantaran dalam media sosial yang menggesa rakyat tidak mengundi atau mengundi secara tidak sah.
Sebuah universiti tempatan turut menutup persatuan pelajarnya selepas mesej ucapan takziah dan tuntutan keadilan bagi mangsa kebakaran disebarkan.
Seruan boikot kini merupakan perbuatan jenayah di bawah undang-undang keselamatan kebangsaan sejak protes besar 2019.
Sebelum kebakaran, promosi kerajaan menekankan kepentingan pengundian, malah waktu operasi pusat mengundi dilanjutkan dan stesen baharu dibuka.
Namun, majoriti pengundi enggan hadir, menandakan ketidakpuasan terhadap pengurusan tragedi kebakaran oleh pihak berkuasa.
Pilihan raya sebelum ini biasanya menyaksikan pertembungan sengit antara kem pro-Beijing dan prodemokrasi.
Namun, sejak penguatkuasaan undang-undang keselamatan kebangsaan pada 2020, banyak pemimpin prodemokrasi dipenjarakan, berhenti, atau meninggalkan bandar.










