JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengumumkan rancangan memperoleh sehingga 200 helikopter baharu bermula tahun depan sebagai langkah memperkukuh pertahanan negara serta meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana, lapor Agensi Berita Indonesia (ANTARA).
Menurutnya, Indonesia berdepan risiko bencana yang tinggi kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik, sambil merujuk kepada operasi kecemasan yang sedang berjalan berhubung banjir dan tanah runtuh di Sumatera ketika ini.
Prabowo memaklumkan, lima helikopter baharu sudah diterima minggu ini dan jumlahnya dijangka terus meningkat.
“Saya sudah mengarahkan pembantu saya untuk memperoleh 200 helikopter bermula Januari tahun depan,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-61 Parti Golkar di Jakarta, kelmarin.
Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada penduduk yang terkesan, sambil menegaskan rakyat Indonesia sentiasa tabah dalam menghadapi krisis.
Prabowo berkata, kerajaan bertindak segera bagi memastikan bantuan dapat digerakkan pantas, termasuk mengatur 50 helikopter untuk menghantar bekalan kecemasan serta menyokong operasi mencari dan menyelamat di kawasan terjejas.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan setiap usaha menyelamat dapat dilaksanakan tanpa kelewatan.
Menjawab kritikan terhadap pembelian ketenteraan berskala besar, Prabowo menekankan Indonesia perlu sentiasa bersedia menghadapi sebarang ancaman ketenteraan atau bencana besar.
Beliau menegaskan perancangan jangka panjang amat penting bagi mengelakkan negara terpaksa membuat keputusan tergesa-gesa ketika kecemasan berlaku.










