Polis dapatkan semula loket telur Fabergé ditelan lelaki New Zealand

Polis dapatkan semula loket telur Fabergé ditelan lelaki New Zealand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WELLINGTON: Polis New Zealand berjaya mendapatkan semula sebuah loket telur Fabergé bertatahkan berlian yang ditelan oleh seorang lelaki dalam cubaan mencurinya, menurut kenyataan pihak berkuasa.

Loket mewah itu, yang bernilai NZ$33,585 (RM79,714) diperoleh semulamelalui ‘cara semula jadi’ dan tidak memerlukan sebarang campur tangan perubatan, kata polis kepada BBC.

Insiden itu berlaku kira-kira seminggu selepas polis menahan lelaki berusia 32 tahun itu di Patridge Jewellers di pusat bandar Auckland, beberapa minit selepas dia didakwa menelan loket berkenaan.

Menurut laman web kedai barang kemas tersebut, loket itu ditatah 60 berlian putih dan 15 batu nilam biru dan boleh dibuka untuk menyingkap miniatur sotong emas 18 karat.

Suspek kini didakwa atas kesalahan mencuri dan dijadualkan hadir ke mahkamah pada 8 Disember.

Menurut kertas pertuduhan yang dilihat BBC, lelaki itu juga berdepan dakwaan mencuri sebuah iPad dari kedai barang kemas yang sama pada 12 November, serta mencuri pasir tandas kucing dan produk kawalan kutu bernilai NZ$100 (RM237) dari sebuah kediaman peribadi sehari selepas itu.

Awal minggu ini, polis berkata, lelaki itu menjalani pemeriksaan perubatan dan sedang dipantau secara berterusan.

“Memandangkan lelaki ini berada dalam tahanan polis, kami mempunyai tanggungjawab untuk terus memantaunya berdasarkan keadaan yang telah berlaku,” kata polis.

Loket tersebut, yang dinamakan Octopussy Egg, diinspirasikan daripada filem James Bond 1983 Octopussy, yang turut berkisarkan rompakan telur Fabergé.

Fabergé merupakan jenama barang kemas terkenal dunia yang diasaskan di Russia lebih dua abad lalu, terkenal dengan telur berharga diperbuat daripada batu permata dan logam bernilai.

Menurut Radio NZ, Patridge Jewellers berkata, loket itu akan dipulangkan semula kepada Fabergé.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN