Penduduk sempadan Thailand-Kemboja takut pulang ke rumah

Penduduk sempadan Thailand-Kemboja takut pulang ke rumah

PENDUDUK berlindung di kem penempatan sementara di Oddar Meanchey, Kemboja yang bersempadan dengan Thailand. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Penduduk Thailand dan Kemboja yang dipindahkan akibat pertempuran di sempadan kedua-dua negara masih bimbang pulang ke rumah masing-masing walaupun gencatan senjata diumumkan, berikutan ketiadaan jaminan keselamatan sepenuhnya daripada pihak berkuasa.

Di sebuah universiti di wila­yah Surin yang dijadikan pusat perlindungan sementara, seorang suri rumah, Kanlaya Somjettana berkata, dia enggan pulang walaupun pertempuran yang berlarutan selama beberapa minggu itu dihentikan secara rasmi pada Sabtu lalu.

Katanya, walaupun ada penduduk yang mula pulang sehari selepas gencatan senjata diumumkan, ramai lagi memilih untuk terus berlindung kerana khuatir keganasan akan tercetus semula.

Mereka juga menunggu pe­ngesahan rasmi kawasan kediaman benar-benar selamat.

Di Kemboja, seorang wanita hamil, So Choeun yang berlindung bersama keluarganya di bawah khemah sementara di wilayah Banteay Meanchey memberitahu dia masih takut untuk pulang walaupun rumahnya hanya satu kilometer dari sempadan.

Katanya, trauma akibat pertempuran sebelum ini menyebabkan penduduk hilang kepercayaan terhadap gencatan senjata, terutamanya apabila perjanjian serupa pada masa lalu pernah dilanggar.

Kedua-dua negara memaklumkan gencatan senjata yang berusia sehari itu masih dipatuhi setakat Ahad, namun kebanyakan kawasan sempadan belum menerima notis selamat sepenuhnya.

Konflik terbaharu ini mengorbankan sekurang-kurangnya 47 nyawa dan memaksa lebih sejuta penduduk berpindah.

China turut terlibat dalam usaha pengantaraan apabila Menteri Luar negara itu, Wang Yi, menjadi tuan rumah kepada rundingan antara menteri luar Thailand dan Kemboja.

Beijing menyifatkan gencatan senjata itu sebagai langkah awal ke arah pemulihan keamanan dan pembinaan semula kepercayaan.

Sebahagian penduduk seperti petani padi di wilayah Sisaket, Saichon Wongpitak, terpaksa pulang ke rumah demi menjaga ternakan dan ladang walaupun masih takut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN