Pembalakan haram punca banjir besar di Sumatera?

Pembalakan haram punca banjir besar di Sumatera?

SEORANG penduduk berjalan di celah himpunan kayu balak yang dihanyutkan banjir besar di Tapanuli, Sumatera Utara, Indonesia. –AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kerajaan Indonesia akan memanggil lapan syarikat yang disyaki menyumbang kepada bencana banjir besar di kawasan tadahan Batang Toru, Sumatera Utara, selepas imej sejumlah batang kayu dihanyutkan arus deras tular dalam media sosial.

Pakar turut mengaitkan aktiviti pembalakan dan kemusnahan alam sekitar sebagai faktor yang memburukkan tragedi yang sudah meragut lebih 700 nyawa.

Menteri Alam Sekitar, Hanif Faisol Nurofiq berkata, pihaknya meneliti imej satelit yang menunjukkan kawasan terjejas mengalami penggondolan hutan.

Katanya, lapan entiti yang beroperasi di kawasan Sungai Batang Toru akan dipanggil untuk menjelaskan aktiviti mereka serta menyiasat asal-usul kayu yang ditemui selepas banjir.

Menurut Hanif, kementerian turut menilai semula kelulusan alam sekitar syarikat-syarikat yang beroperasi di tiga wilayah terjejas.

Beliau menegaskan semua penilaian perlu mengambil kira risiko cuaca ekstrem seperti yang dibawa taufan tropika Senyar, serta mengingatkan bahawa tindakan tegas termasuk penggantungan operasi mungkin diambil.

Terdapat desakan kerajaan bertindak lebih keras. Ahli Parlimen, Ratna Juwita Sari, menuntut permit semua syarikat yang didapati merosakkan alam sekitar di kawasan Batang Toru dibatalkan.

Kumpulan alam sekitar Walhi pula mendakwa tujuh syarikat memainkan peranan besar dalam mempercepatkan kejadian tanah runtuh dan banjir kilat.

Beberapa syarikat menafikan dakwaan tersebut. Antaranya PT Agincourt Resources yang mengendalikan lombong emas Martabe, menegaskan operasi mereka tidak berkaitan dengan kawasan yang mengalami banjir kilat dan hasil pemantauan tidak menemui bahan kayu yang boleh dikaitkan dengan bencana tersebut.

Kementerian turut menyiasat kemungkinan kayu yang dihanyutkan arus datang daripada pembalakan haram, penyalahgunaan permit tanah serta aktiviti pencucian kayu secara terancang.

Penguat kuasa juga mengesan beberapa kes pencucian kayu tahun ini, termasuk penggunaan dokumen palsu bagi menghalalkan kayu dari kawasan terlindung.

Gesaan untuk mengisytiharkan darurat nasional semakin meningkat, termasuk daripada ahli politik dan pertubuhan masyarakat sivil, berikutan kemusnahan besar di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN