Nilai kekayaan Musk kini cecah AS$600 bilion

Nilai kekayaan Musk kini cecah AS$600 bilion

ELON MUSK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Hartawan terkenal, Elon Musk menjadi individu pertama di dunia yang memiliki kekayaan bernilai AS$600 bilion (RM2.45 trilion), menurut majalah Forbes.

Pencapaian itu direkodkan susulan laporan syarikat penerokaan angkasa lepas miliknya, SpaceX, berkemungkinan disenaraikan di pasaran saham pada penilaian sekitar AS$800 bilion (RM3.27 trilion).

Musk, yang menjadi individu pertama melepasi nilai kekayaan AS$500 bilion (RM2 trilion), memiliki kira-kira 42 peratus pegangan dalam SpaceX dan bersedia untuk penyenaraian awam tahun depan.

Tiada individu lain pernah mencapai paras AS$500 bilion.

Penilaian SpaceX itu dijangka mengukuhkan kekayaan Musk sebanyak AS$168 bilion (RM687 bilion) kepada anggaran AS$677 bilion (RM2.7 trilion) setakat tengah hari Isnin, menurut Forbes.

Kekayaan Musk turut mendapat rangsangan daripada kira-kira 12 peratus pegangannya dalam pengeluar kenderaan elektrik, Tesla, yang menyaksikan sahamnya meningkat 13 peratus setakat tahun ini meskipun jualan menurun.

Saham Tesla naik hampir empat peratus pada Isnin selepas Musk mengumumkan syarikat itu sedang menguji perkhidmatan robotaxis tanpa monitor keselamatan di tempat duduk penumpang hadapan.

Pada November, pemegang saham Tesla meluluskan pakej imbuhan bernilai AS$1 trilion (RM4 trilion) untuk Musk, terbesar dalam sejarah korporat, apabila pelabur menyokong visinya untuk mengubah syarikat kenderaan elektrik itu menjadi gergasi kecerdasan buatan (AI) dan robotik.

Sementara itu, syarikat pemula AI miliknya, xAI, dilaporkan sedang dalam perbincangan lanjut untuk mengumpul AS$15 bilion (RM61 bilion) dalam pembiayaan ekuiti baharu pada penilaian AS$230 bilion (RM941 bilion), menurut Wall Street Journal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×