WASHINGTON: Netflix berdepan tindakan saman pengguna bagi menghalang rancangan gergasi penstriman itu untuk mengambil alih perniagaan studio dan penstriman Warner Bros Discovery dalam urus niaga bernilai AS$72 bilion (RM296.5 bilion).
Tindakan saman berkelompok itu difailkan oleh seorang pelanggan HBO Max milik Warner Bros, yang mendakwa perjanjian tersebut berisiko mengurangkan persaingan dalam pasaran langganan video atas permintaan (SVOD) di Amerika Syarikat (AS).
Beberapa ahli Kongres turut mempersoalkan cadangan Netflix yang dijangka berdepan penelitian ketat badan pengawalseliaan AS di bawah undang-undang anti monopoli.
Pada Isnin, Paramount Skydance melancarkan bidaan bernilai AS$108.4 bilion (RM446.5 bilion) untuk Warner Bros Discovery (WBD), mencabar tawaran Netflix.
Undang-undang anti monopoli persekutuan AS membenarkan pengguna menyaman berhubung penggabungan dan pengambilalihan, selain sebarang tindakan undang-undang oleh agensi pengawalseliaan persekutuan, namun kes-kes sebegini lazimnya berdepan cabaran undang-undang besar.
Netflix, perkhidmatan penstriman terbesar dunia, dalam satu kenyataan berkata, pihaknya percaya saman ini tidak berasas dan hanyalah percubaan pihak plaintif untuk memanfaatkan tumpuan terhadap perjanjian ini.
“Saman ini menyatakan Netflix berulang kali menaikkan harga langganan walaupun berdepan pesaing besar seperti WBD,” katanya.
Perjanjian Netflix–Warner Bros diumumkan minggu lalu selepas pertarungan bidaan selama beberapa minggu. Pada Isnin, lembaga pengarah Warner Bros Discovery berkata ia akan meneliti tawaran saingan daripada Paramount.
Saman tersebut berhujah perjanjian Warner Bros akan menghapuskan salah satu pesaing paling hampir Netflix, HBO Max, serta memberikan Netflix kawalan ke atas francais utama Warner Bros termasuk Harry Potter, DC Comics dan Game of Thrones.
Warner Bros tidak dinamakan sebagai defendan dalam kes ini.
Firma guaman Bathaee Dunne yang memfailkan saman baharu itu turut pernah membawa beberapa tindakan undang-undang anti monopoli terhadap syarikat hiburan dan kewangan utama.
Dalam satu kes, firma itu mewakili pelanggan YouTube TV dan platform lain dalam saman yang menuduh The Walt Disney Co menjejaskan persaingan dalam pasaran televisyen berbayar penstriman langsung.
Disney menafikan sebarang salah laku dan telah bersetuju membayar jumlah yang tidak didedahkan bagi menyelesaikan kes berkenaan.-AGENSI










