PARIS: Airbus mengumumkan sebanyak 628 pesawat A320 di seluruh dunia mungkin perlu diperiksa berikutan isu kualiti pada plat logam yang dikesan baru-baru ini.
Dalam kenyataan kepada AFP, pengeluar pesawat Eropah itu berkata angka tersebut merujuk kepada jumlah pesawat yang berpotensi terjejas tetapi tidak bermakna semua pesawat ini semestinya menghadapi masalah.
Airbus berkata, bilangan pesawat yang perlu diperiksa semakin berkurangan dari hari ke hari apabila proses pemeriksaan mengenal pasti pesawat yang memerlukan tindakan khusus.
Isnin lalu, Airbus mengesahkan ia menemui “isu kualiti pembekal” tetapi menegaskan masalah itu “terkawal” dan hanya melibatkan “bilah logam A320 yang terhad”.
Berita mengenai masalah kualiti ini turut menyebabkan saham Airbus merosot, selepas laporan mendakwa isu panel fuselage itu menunda penghantaran beberapa pesawat A320.
Sebelum ini, Airbus juga menasihatkan kira-kira 6,000 pesawat A320 tidak dibenarkan terbang sehingga peningkatan perisian dilakukan susulan insiden di Amerika Syarikat.
Dihasilkan sejak 1988, A320 kekal pesawat paling laris di dunia dengan jualan terkumpul 12,257 unit sehingga akhir September, sedikit mengatasi jualan Boeing 737 yang berjumlah 12,254 unit.










