WASHINGTON: Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) membenarkan Jabatan Kehakiman menerbitkan dokumen juri dalam kes jenayah melibatkan Ghislaine Maxwell, rakan rapat Jeffrey Epstein yang kini dipenjara atas kesalahan memperdagangkan gadis bawah umur bersama jutawan itu yang sudah meninggal dunia itu.
Hakim Daerah AS, Paul Engelmayer di New York meluluskan permohonan Jabatan Kehakiman untuk membuka rekod tersebut di bawah undang-undang baharu yang mewajibkan Peguam Negara mendedahkan semua fail tidak sulit berkaitan siasatan terhadap Epstein dan Maxwell.
Seorang hakim di Florida mengeluarkan perintah serupa dalam kes Epstein minggu lalu.
Dokumen berkenaan mendapat perhatian meluas dalam kalangan penentang politik Presiden AS, Donald Trump serta sebahagian penyokongnya sendiri yang mahukan lebih ketelusan dalam penyiasatan kerajaan.
Fail tersebut berpotensi mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai hubungan Epstein dengan individu kaya dan berpengaruh, termasuk Trump.
Trump sebelum ini berkata beliau memutuskan hubungan dengan Epstein lama sebelum penangkapan jutawan itu pada 2019, pada awalnya menentang pembebasan fail berkenaan tetapi berubah pendirian sejurus sebelum anggota Kongres mengundi rang undang-undang Epstein Files Transparency Act, yang beliau tandatangani pada 19 November.
Ramai penyokong Trump percaya pentadbirannya cuba menutup kaitan Epstein dengan tokoh berpengaruh dan menyembunyikan butiran mengenai kematian jutawan di penjara Manhattan pada 2019 ketika menghadapi pertuduhan persekutuan pemerdagangan seks.
Kematian Epstein diputuskan secara rasmi sebagai bunuh diri.
Skandal ini menjadi isu sensitif bagi Trump selama berbulan-bulan. Beliau sebelum ini menguar-uarkan teori konspirasi mengenai Epstein dan berjanji akan mendedahkan fail tersebut, namun kini mendakwa ia hanyalah helah Demokrat untuk mengalih perhatian daripada pencapaian pentadbirannya.
Maxwell sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun selepas disabitkan pada perbicaraan 2021 atas kesalahan pemerdagangan seks kanak-kanak dan beberapa pertuduhan lain, walaupun dia tetap menegaskan tidak bersalah.
Dalam satu wawancara dengan pegawai kanan Jabatan Kehakiman pada Julai lalu, Maxwell berkata, dia tidak pernah melihat Trump berkelakuan tidak wajar. -AGENSI










