Korban insiden tembakan sambutan perayaan Yahudi di Pantai Bondi meningkat 16 orang

Korban insiden tembakan sambutan perayaan Yahudi di Pantai Bondi meningkat 16 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Angka kematian akibat insiden tembakan rambang semasa sambutan perayaan Yahudi di Pantai Bondi, Sydney, meningkat kepada 16 orang, menurut polis.

Polis memaklumkan dalam satu hantaran di platform X, seramai 16 orang disahkan maut manakala 40 lagi masih dirawat di hospital.

Seorang daripada suspek penembak yang maut pada Ahad turut termasuk dalam angka korban tersebut.

Dua lelaki bersenjata dipercayai bapa dan anak, melepaskan tembakan ke arah orang ramai di Pantai Bondi pada Ahad ketika perhimpunan sempena perayaan Hanukkah sedang berlangsung.

Pasukan kecemasan membawa sekurang-kurangnya 29 mangsa ke hospital berhampiran dari lokasi kejadian, yang merupakan antara destinasi pelancongan paling popular di bandar terbesar Australia itu, menurut Polis New South Wales.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, memuji tindakan orang awam yang berani, termasuk seorang lelaki yang berjaya menyerang dan melucutkan senjata seorang penyerang, sebagai ‘wira’.

Polis mengisytiharkan kejadian itu sebagai insiden pengganas dan memaklumkan menemui bahan yang disyaki sebagai alat letupan buatan sendiri di dalam sebuah kenderaan berhampiran pantai yang dikaitkan dengan suspek yang maut.

“Ini adalah serangan yang disasarkan terhadap rakyat Australia berketurunan Yahudi pada hari pertama Hanukkah, yang sepatutnya menjadi hari kegembiraan dan sambutan keagamaan sebaliknya bertukar menjadi perbuatan kejahatan, antisemitisme dan keganasan yang amat menyedihkan.

“Serangan terhadap rakyat Australia berketurunan Yahudi adalah serangan terhadap seluruh rakyat Australia,” kata Albanese.

Insiden tembakan itu berlaku semasa acara tahunan ‘Hanukkah by the Sea di Pantai Bondi, yang menurut polis dihadiri lebih 1,000 orang.

Presiden Israel, Isaac Herzog, mengecam kejadian itu sebagai serangan kejam terhadap orang Yahudi dan menggesa pihak berkuasa Australia mempertingkatkan usaha membanteras antisemitisme.

Ketika tembakan dilepaskan, orang ramai bertempiaran melarikan diri dari pantai di timur Sydney itu, yang lazimnya dipenuhi peluncur, perenang dan pelancong, khususnya pada hujung minggu.

“Kami dengar bunyi tembakan. Ia sangat mengejutkan, seperti hampir 10 minit bunyi ‘bang, bang, bang’. Senjatanya kedengaran sangat kuat,” kata seorang pelajar dari Chile, Camilo Diaz, 25, kepada AFP di lokasi kejadian.

Perkhidmatan kecemasan menerima laporan tembakan dilepaskan pada pukul 6.47 petang (waktu tempatan).

Bukit berumput yang menghadap Pantai Bondi dipenuhi barangan yang ditinggalkan orang ramai ketika melarikan diri, termasuk sebuah kereta sorong bayi, menurut pemerhatian wartawan AFP di lokasi.

Paramedik dilihat memberi rawatan kepada mangsa yang cedera dan terbaring di atas rumput, berdasarkan rakaman yang disiarkan oleh penyiar awam ABC.

Sepucuk senjata yang dipercayai sebagai senapang pam ditemui terletak berhampiran sebatang pokok di tepi pantai.

Seorang pelancong Britain memberitahu AFP, dia melihat dua penyerang berpakaian hitam ketika tembakan dilepaskan.

“Terdapat tembakan, dua penyerang berpakaian hitam dengan senjata separa automatik,” kata Timothy Brant-Coles, sambil menambah beliau melihat beberapa individu yang cedera ditembak.

Sementara itu, sebuah pertubuhan Islam terkemuka Australia mengecam serangan tersebut sebagai insiden mengerikan.

“Hati, fikiran dan doa kami bersama para mangsa, keluarga mereka, serta semua yang menyaksikan atau terkesan oleh serangan yang amat traumatik ini,” kata Majlis Imam Kebangsaan Australia dalam satu kenyataan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN