BRASÍLIA: Senat Brazil meluluskan rang undang-undang bagi memendekkan tempoh hukuman penjara bekas presiden berhaluan kanan, Jair Bolsonaro yang sebelum ini disabitkan kesalahan merancang rampasan kuasa selepas tewas dalam pilihan raya kepada Presiden Luiz Inacio Lula da Silva.
Rang undang-undang itu, yang telah diluluskan Dewan Rendah minggu lalu, kini dikemukakan kepada Lula untuk ditandatangani.
Bolsonaro, 70, mula menjalani hukuman penjara selama 27 tahun pada November lalu dan mengikut peraturan sedia ada perlu menjalani sekurang-kurangnya lapan tahun sebelum layak menerima kelonggaran.
Namun, pindaan baharu terhadap kaedah pengiraan hukuman boleh mengurangkan tempoh pemenjaraannya kepada sedikit lebih dua tahun.
Kelulusan rang undang-undang itu berlaku pantas susulan tekanan berterusan penyokong Bolsonaro di Kongres yang sebelum ini menuntut pengampunan. Ia diluluskan Senat dengan undian 48 menyokong dan 25 menentang.
Langkah tersebut mencetuskan bantahan di beberapa bandar di Brazil, apabila penunjuk perasaan melaungkan slogan “tiada pengampunan” dan menuduh Kongres mengkhianati rakyat.
Penggubal rang undang-undang, Paulinho da Forca, mempertahankan langkah itu sebagai usaha perdamaian nasional dalam negara yang terbahagi secara politik.
Namun, Presiden Lula menegaskan Bolsonaro “perlu membayar” atas kesalahannya dan berikrar untuk memveto undang-undang berkenaan.
Bolsonaro disabitkan kesalahan kerana merancang untuk menghalang Lula daripada mengangkat sumpah jawatan selepas kekalahan tipis dalam pilihan raya 2022, termasuk dakwaan rancangan membunuh Lula, Timbalan Presiden Geraldo Alckmin dan seorang hakim Mahkamah Agung, yang gagal dilaksanakan akibat kekurangan sokongan tentera.










