Konflik Thailand-Kemboja makin buruk, penduduk tertekan

Konflik Thailand-Kemboja makin buruk, penduduk tertekan

PRATUAN Chuawong berlindung di dalam bunker berhampiran sebuah kuil ketika pertempuran antara Thailand dan Kemboja semakin memuncak di wilayah sempadan Sa Kaeo.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Lebih setengah juta penduduk Thailand dan Kemboja terpaksa meninggalkan kediaman mereka selepas konflik di sempadan kembali tercetus, melebihi jumlah keseluruhan yang dipindahkan ketika pertempuran serupa awal tahun ini.

Kebanyakan mereka memenuhi pagoda, sekolah dan pusat pemindahan sementara selepas melarikan diri daripada pertempuran semula pada Ahad dalam pertikaian sempadan yang sudah berlarutan lebih satu abad.

Semalam, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berikrar untuk campur tangan sekali lagi selepas pakar memberi amaran perjanjian damai yang diusahakan beliau Julai lalu kini diambang kegagalan sepenuhnya.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Surasant Kongsiri berkata, lebih 400,000 orang dipindahkan ke tempat perlindungan selamat merentasi tujuh wilayah.

Di Kemboja, jurucakap Kementerian Pertahanan, Maly Socheata memberitahu wartawan, 101,229 orang dipindahkan ke tempat perlindungan selamat dan rumah saudara-mara mereka di lima wilayah.

Seorang penduduk, Lay Non, 55, dari bandar O’Smach di utara Kemboja yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kasino berkata, pertempuran kali ini lebih buruk berbanding sebelum ini dan dia kini tinggal di sebuah kuil bersama keluarganya.

“Kali ini pertempuran lebih sengit, tentera Thailand menjatuhkan bom daripada jet. Saya rasa lebh selamat tinggal berhampiran patung Budha besar di dalam kuil,” katanya.

Bagi seorang petani Thailand, Pratuan Chuawong yang tinggal hanya sekitar 500 meter dari sempadan Kemboja, konflik yang kembali tegang membangkitkan ketakutan yang sama kepada penduduk seperti yang berlaku pada Julai lalu.

Selepas pertempuran terdahulu, dia dan jiran-jirannya membina sebuah bunker di kawasan kuil dengan harapan dapat melindungi mereka daripada serangan senjata berat.

“Kali ini, rasanya lebih teruk berbanding pertempuran Julai lalu. Bunyi tembakan meriam semakin kuat setiap malam. Saya terus tertanya-tanya, adakah ia akan membedil kami?” katanya.

Tentera Thailand berkata, roket BM-21 yang dipercayai ditembak pasukan Kemboja jatuh berhampiran Hospital Phanom Dong Rak di daerah Surin pada pagi Rabu, memaksa pesakit dan kakitangan hospital dipindahkan ke tempat perlindungan.

Dron, roket BM-21 dan kereta kebal turut digunakan di beberapa lagi kawasan sempadan, termasuk berhampiran kompleks kuil Preah Vihear yang menjadi pertikaian.

Sementara itu, tentera Kemboja mendakwa Thailand menggunakan tembakan artileri dan dron bersenjata untuk melancarkan serangan di wilayah Pursat, selain melepaskan mortar ke kawasan kediaman penduduk di wilayah Battambang. 

Kementerian Pertahanan Kemboja berkata, sembilan orang awam terbunuh sejak Isnin dan 20 lagi cedera parah, manakala pihak berkuasa Thailand melaporkan empat askarnya terbunuh dan 68 cedera.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×