Kesihatan Trump amat 'cemerlang' - Doktor Presiden AS - Utusan Malaysia

Kesihatan Trump amat ‘cemerlang’ – Doktor Presiden AS

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Tahap kesihatan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump disahkan dalam keadaan ‘cemerlang’ selepas menjalani imbasan MRI semasa lawatan mengejut ke Pusat Perubatan Walter Reed, menurut laporan perubatan dikeluarkan semalam.

Lawatan tidak berjadual pada 10 Oktober itu mencetuskan spekulasi besar memandangkan Trump, yang bakal berusia 80 tahun pada Jun ini, sering dikritik kerana kurang telus mengenai keadaan kesihatannya.

Namun doktor presiden, Sean Barbabella, menegaskan pemeriksaan tersebut hanyalah langkah pencegahan untuk menilai kesihatan keseluruhan dan mengesan sebarang masalah lebih awal.

Barbabella memaklumkan sistem kardiovaskular Trump berada dalam keadaan amat baik, manakala imejan abdomen dan organ dalaman lain juga menunjukkan fungsi normal tanpa sebarang petunjuk masalah kesihatan.

MRI lazimnya digunakan untuk mengesan penyakit serius seperti tumor dan strok, selain kecederaan tisu lembut.

Trump sebelum ini mengelak menjawab soalan media tentang tujuan lawatan tersebut dan meminta wartawan merujuk kepada pasukan perubatannya.

Sepanjang penggal keduanya, beliau juga beberapa kali dilihat mempunyai kesan lebam pada tangan kanan, yang menurut White House berpunca daripada pengambilan aspirin sebagai sebahagian regimen kesihatan jantung.

Pada musim panas lalu, pentadbiran Trump turut mendedahkan beliau telah diperiksa berhubung bengkak pada kaki dan disahkan mengalami kekurangan vena kronik, iaitu keadaan biasa yang menyebabkan darah bertakung dalam urat dan boleh dikawal melalui ubat atau rawatan khusus.

Laporan kesihatan terbaharu ini dijangka meredakan spekulasi mengenai tahap kecergasan presiden, meskipun sorotan terhadap kesihatannya kekal tinggi kerana faktor usia dan jadual tugas yang padat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN