Junta Myanmar tahan lelaki hantar mesej anti pilihan raya dalam chat Facebook

Junta Myanmar tahan lelaki hantar mesej anti pilihan raya dalam chat Facebook

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Tentera Myanmar menahan seorang lelaki yang menghantar mesej anti pilihan raya dalam perbualan peribadi di Facebook, menggunakan undang-undang yang menurut kumpulan hak asasi telah menyekat kebebasan individu.

Menjelang pengundian, kerajaan tentera memperkenalkan rang undang-undang baharu yang luas, termasuk peruntukan yang menghukum tindakan memprotes atau mengkritik pilihan raya dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Menurut kenyataan junta, Khaing Soe, 58, dari kampung Bogyoke berhampiran Yangon ditahan di bawah undang-undang itu pada Jumaat.

“Lelaki itu dikesan dan ditangkap kerana menulis teks di Messenger menggunakan akaun Facebook ‘Khaing Soe’ dengan tujuan menggagalkan proses pilihan raya dan mengelirukan orang ramai.

“Tindakan sedang diambil untuk memastikan dia menerima hukuman yang sewajarnya,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu tidak memberikan banyak butiran mengenai kesalahan yang didakwa, termasuk bagaimana pihak berkuasa memperoleh akses kepada mesejnya di aplikasi Messenger yang bersifat peribadi.

Dua lagi lelaki turut ditahan, seorang kerana membuat hantaran di Facebook dan seorang lagi kerana merosakkan papan iklan kempen manakala 11 kes lain dibuka terhadap kumpulan atau individu, kata kenyataan tersebut.

Menurut kiraan AFP, junta membuka lebih 100 kes di bawah undang-undang gangguan pilihan raya.

Namun sebahagiannya menyasarkan pejuang pemberontak yang beroperasi di luar jangkauan tentera.

Jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, Jeremy Laurence memberi amaran minggu lalu, tentera  meningkatkan pengawasan elektronik berskala besar untuk mengenal pasti pembangkang menjelang pilihan raya yang banyak dikritik itu.

Junta merampas kuasa pada 2021 yang menyaksikan negara itu bergelut dengan perang saudara pelbagai penjuru.

Namun junta Myanmar berjanji pilihan raya yang bermula hujung Disember ini akan membawa negara itu ke arah keamanan dan demokrasi.

Ahli Parlimen yang digulingkan dan tidak dibenarkan bertanding, pemantau hak asasi manusia serta pemberontak gerila yang menentang junta menolak pilihan raya itu sebagai helah bagi menutup kelangsungan pemerintahan tentera.

Myanmar secara sejarahnya diperintah tentera, tetapi menikmati era pelonggaran demokrasi selama sedekad bermula 2010 yang menyaksikan penerima Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi muncul sebagai pemimpin pilihan rakyat.

Beliau digulingkan dan terus dipenjarakan sejak kudeta Februari 2021.

Partinya dibubarkan dan tidak akan muncul di kertas undi ketika pengundian bermula 28 Disember dalam pilihan raya berfasa yang dijangka berlangsung sekitar sebulan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN