TEL AVIV: Senator Amerika Syarikat (AS) mahu Hamas diberikan satu tempoh masa untuk melucutkan senjata dan sekiranya gagal berbuat demikian, Israel perlu diberi lampu hijau menyambung semula operasi ketenteraan di seluruh Gaza.
Fasa kedua pelan 20 perkara Presiden AS, Donald Trump bagi Gaza menuntut Hamas melucutkan senjata dan kawasan itu dibebaskan dari unsur ketenteraan.
Namun, pimpinan kumpulan tersebut secara terbuka dan konsisten menyatakan mereka tidak akan menyerahkan semua senjata, dan tidak pernah bersetuju dengan fasa kedua pelan berkenaan.
“Letakkan mereka pada had masa. Jika mereka tidak melucutkan senjata secara berwibawa, lepaskan Israel untuk bertindak,” kata Senator Parti Republikan, Lindsey Graham ketika ditemui di sebuah hotel di Tel Aviv.
Antara elemen utama pelan itu ialah penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) disertai pelbagai negara untuk Gaza. Bagaimanapun, usaha mendapatkan komitmen penempatan tentera daripada negara rakan masih berdepan cabaran.
Mandat ISF juga belum dimuktamadkan dan difahamkan tidak akan melibatkan pertempuran secara langsung dengan Hamas sekiranya kumpulan itu enggan melucutkan senjata.
Menurut Graham, pasukan antarabangsa tersebut tidak mempunyai peluang untuk berjaya selagi Hamas belum dilucutkan senjatanya.
“Tiada pasukan penstabilan antarabangsa yang sanggup masuk dan berperang. Nasihat saya kepada Trump ialah selagi Hamas tidak disingkirkan daripada permainan secara ketenteraan dan politik, peluang untuk berjaya amat tipis,” katanya.
Walaupun terdapat ancaman operasi ketenteraan intensif Israel akan disambung semula di Gaza, Graham berkata, peluang Hamas melucutkan senjata secara sukarela adalah sangat rendah.
Graham turut mendakwa Iran yang menjadi penaja Hamas, masih merancang sesuatu yang berbahaya dan tetap berhasrat memiliki senjata nuklear.
Netanyahu dijangka membentangkan pelan kemungkinan serangan baharu terhadap Iran kepada Trump semasa lawatannya ke Washington, lapor NBC News pada Sabtu.










