BAITULMUQADDIS: Israel meluluskan pembinaan 19 penempatan baharu di Tebing Barat yang diduduki, satu langkah yang disifatkan bertujuan menghalang penubuhan sebuah negara Palestin.
Keputusan itu dibuat oleh Kabinet Keselamatan Israel dan menjadikan jumlah keseluruhan penempatan yang diluluskan dalam tempoh tiga tahun lalu meningkat kepada 69, menurut kenyataan Pejabat Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich.
Kelulusan terbaharu tersebut dibuat beberapa hari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa peluasan penempatan Israel di Tebing Barat, yang dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa, mencapai tahap tertinggi sejak sekurang-kurangnya 2017.
Menurut kenyataan itu, cadangan yang dikemukakan oleh Smotrich bersama Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz untuk mengisytiharkan dan merasmikan 19 penempatan baharu di Judea dan Samaria, istilah yang digunakan Israel bagi Tebing Barat, telah mendapat kelulusan kabinet.
Smotrich, yang juga merupakan seorang peneroka, dikenali sebagai penyokong tegar peluasan penempatan Israel di wilayah Palestin.
“Di lapangan, kami menghalang penubuhan sebuah negara Palestin. Kami akan terus membangunkan, membina dan mendiami tanah warisan nenek moyang kami dengan keyakinan terhadap keadilan perjuangan kami,” katanya.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres sebelum ini mengecam peluasan penempatan Israel yang disifatkannya sebagai berterusan tanpa henti, sambil memberi amaran ia terus mencetuskan ketegangan, menyekat akses rakyat Palestin ke tanah mereka serta mengancam penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.
Sejak tercetusnya perang di Gaza, gesaan antarabangsa untuk penubuhan negara Palestin semakin meningkat, termasuk tindakan beberapa negara Eropah, Kanada dan Australia yang mengiktiraf negara itu, namun langkah berkenaan menerima kecaman keras Israel.
Menurut laporan PBB, purata 12,815 unit perumahan penempatan Israel dibina setiap tahun antara 2017 hingga 2022, manakala lebih 500,000 warga Israel kini menetap di Tebing Barat bersama kira-kira tiga juta penduduk Palestin, tidak termasuk Baitulmuqaddis Timur yang diduduki Israel sejak 1967.










