Israel intip pasukan AS di pusat bantuan Gaza - Utusan Malaysia

Israel intip pasukan AS di pusat bantuan Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Israel menjalankan kegiatan pengintipan berskala besar terhadap pasukan Amerika Syarikat (AS) yang terlibat dalam mekanisme bantuan untuk Gaza, lapor The Guardian.

Pusat Penyelarasan Awam-Ketenteraan (CMCC) di selatan Israel ditubuhkan pada Oktober sebagai badan bersama untuk memantau gencatan senjata dan menyelia kemasukan bantuan ke wilayah Palestin yang dilanda perang itu.

Namun sumber memberitahu The Guardian rakaman terbuka dan sulit yang dibuat terhadap mesyuarat di CMCC telah mencetuskan perselisihan antara kedua-dua pihak.

Komander AS di pusat itu, Leftenan Jeneral Patrick Frank, dilaporkan memanggil rakan sejawatnya dari Israel dan bertegas aktiviti rakaman mesti dihentikan.

Negara lain seperti United Kingdom (UK ) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut terlibat dalam CMCC. Kakitangan dan pelawat dari negara rakan juga dilaporkan menyuarakan kebimbangan terhadap aktiviti pengawasan Israel di pusat berkenaan.

Ketika CMCC mula beroperasi, media di AS dan Israel melaporkan Israel menyerahkan kuasa kepada pasukan AS. Namun menurut seorang pegawai AS, Israel masih mengekalkan kawalan terhadap barangan yang dibenarkan masuk ke Gaza, meskipun Washington memiliki pengaruh yang besar.

Pasukan AS yang tiba di CMCC termasuk pakar logistik, berhasrat meningkatkan aliran bantuan ke Gaza. Tetapi mereka mendapati Israel mengenakan pelbagai sekatan ke atas barangan yang diklasifikasikan sebagai dwi-guna, lalu menjadi halangan lebih besar daripada cabaran teknikal penghantaran bantuan.

Barangan asas seperti tiang khemah dan bahan kimia untuk rawatan air turut disekat.

Pihak berkuasa Israel juga dilaporkan menyekat barangan asas seperti pensel dan kertas iaitu keperluan penting untuk pelajar Palestin tanpa memberikan penjelasan.

Terdapat keraguan besar dalam kalangan pertubuhan bantuan dan diplomat untuk menyertai usaha CMCC, walaupun mereka telah dijemput.
Pusat itu juga tidak melibatkan sebarang wakil Palestin, dan usaha AS untuk menjadualkan panggilan video dengan pegawai Palestin turut dihalang oleh kakitangan Israel. -ARABNEWS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×