BAITULMUQADDIS: Israel secara rasmi mula menggunakan sistem pertahanan laser baharu dikenali sebagai Iron Beam bagi memintas ancaman udara termasuk roket dan peluru berpandu, menurut pengumuman Kementerian Pertahanan negara itu.
Sistem berkenaan yang dibangunkan oleh Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan kementerian bersama syarikat pertahanan Rafael, diserahkan kepada Tentera Udara Israel dalam satu majlis rasmi di utara negara itu. Ia disahkan telah mencapai tahap operasi penuh.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata, Iron Beam merupakan sistem pemintasan laser berkuasa tinggi pertama di dunia yang digunakan secara operasi. Menurutnya, pencapaian tersebut membawa mesej tegas kepada pihak musuh agar tidak mencabar keupayaan pertahanan Israel.
Pengerusi Rafael, Yuval Steinitz pula menyifatkan penggunaan sistem laser itu sebagai satu kejayaan bersejarah, sekali gus meletakkan Israel sebagai negara pertama menggunakan teknologi laser bagi menangkis ancaman udara.
Sistem Iron Beam bertujuan meningkatkan keupayaan pertahanan negara selain mengurangkan kos pemintasan peluru, dan akan berfungsi sebagai pelengkap kepada sistem pertahanan sedia ada seperti Iron Dome, David’s Sling dan Arrow.
Teknologi baharu itu diumumkan siap sepenuhnya awal Disember lalu dan mula digunakan sebelum akhir bulan. Langkah tersebut dibuat susulan pengalaman konflik terdahulu, termasuk perang singkat dengan Iran pada Jun lalu yang menyaksikan beberapa serangan peluru berpandu gagal dipintas sepenuhnya oleh sistem pertahanan Israel.









