GENEVA: Pengesahan Israel akan menyertai Pertandingan Lagu Eurovision 2026 pada Khamis mencetuskan reaksi balas segera, dengan beberapa penyiar nasional mengumumkan penarikan diri daripada pertandingan itu.
Semasa Perhimpunan Agung Kesatuan Penyiaran Eropah (EBU) di Geneva, majoriti anggota bersetuju untuk membenarkan penyiar Israel, KAN, mengambil bahagian dalam edisi tahun hadapan yang dijadualkan berlangsung di Vienna, Austria.
Susulan keputusan itu, Sepanyol mengumumkan mereka tidak akan menyertai atau menyiarkan Eurovision 2026, menegaskan Israel menggunakan pertandingan tersebut untuk tujuan politik.
“Situasi di Gaza, walaupun terdapat gencatan senjata dan perkembangan proses damai, serta penggunaan pertandingan ini oleh Israel untuk tujuan politik, menjadikan Eurovision semakin sukar dipertahankan sebagai acara budaya neutral,” kata Setiausaha Agung RTVE, Alfonso Morales.
Penyiar Belanda, AVROTROS, turut mengesahkan penarikan diri, menyatakan penyertaan Israel, ditambah situasi kemanusiaan di Gaza dan sekatan terhadap kebebasan media, bercanggah dengan nilai organisasi itu.
Penyiar Ireland, RTE, juga mengumumkan tidak akan menyertai atau menyiarkan pertandingan tersebut, dengan merujuk kepada krisis kemanusiaan berterusan di Gaza serta serangan yang disasarkan terhadap wartawan.
“RTE merasakan penyertaan Ireland adalah tidak wajar memandangkan kehilangan nyawa yang amat dahsyat di Gaza dan krisis kemanusiaan yang terus mengancam ribuan nyawa orang awam,” kata kenyataan itu.
RTV Slovenia turut tidak akan menyertai Eurovision tahun hadapan.
“Mesej kami jelas. Kami tidak akan menyertai ESC jika Israel turut serta. Demi 20,000 kanak-kanak yang terkorban di Gaza,” kata Pengerusi RTV Slovenia, Natalija Gorscak.
Penyiar Flemish Belgium, VRT, mengesahkan akan tetap menyiarkan Eurovision 2026, manakala RTBF, penyiar berbahasa Perancis Belgium yang dijadualkan menghantar peserta bagi edisi tahun ini masih belum menyatakan pendirian.
Lembaga pengarah RUV, penyiar nasional Iceland, dijangka membincangkan penyertaan mereka susulan keputusan untuk mengekalkan penyertaan Israel.-AGENSI










