LONDON: Pelapor khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi wilayah Palestin menyatakan Israel perlu menanggung kos pembinaan semula Gaza bersama Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara lain yang menjadi pembekal senjata utama.
Berucap pada satu acara di London mengenai situasi hak asasi manusia di wilayah Palestin yang diduduki, Francesca Albanese menegaskan perlunya penilaian menyeluruh terhadap unsur bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai di Gaza, sambil menekankan bahawa bukan sahaja Israel, malah semua negara yang membantu perbuatan itu wajar dikenakan sekatan.
“Negara-negara mesti memutuskan hubungan dengan Israel dan menghentikan bantuan serta sokongan kepada sebuah negara yang mengekalkan pendudukan haram,” kata Albanese.
Menyentuh soal kebertanggungjawaban, beliau berkata Israel perlu membayar kos pembinaan semula Gaza bersama AS, Jerman dan Itali yang dikenal pasti sebagai pembekal senjata utama.
Beliau turut menggesa siasatan menyeluruh terhadap penglibatan United Kingdom (UK) dalam pembunuhan beramai-ramai itu melalui perkhidmatan yang disediakan dari pangkalan tenteranya di Cyprus.
“Jika Israel tidak mahu dituduh mengamalkan penjajahan, ia tidak seharusnya bertindak seperti kuasa kolonial, sebagai entiti kolonial, merampas tanah dan memindahkan penduduk,” katanya.
Albanese menyifatkan dua tahun pembunuhan beramai-ramai di Gaza sebagai ‘gabungan 60 tahun kekebalan daripada tindakan undang-undang’, sambil menegaskan keganasan itu tidak akan berhenti selagi tiada perubahan di London, Rom, Berlin atau Paris.
Menyentuh mengenai sekatan AS terhadap dirinya, Albanese berkata langkah itu menyebabkan beliau, hakim Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) serta pertubuhan hak asasi manusia Palestin dianggap seperti penjenayah.
“Tiada tindak balas yang cukup tegas untuk memastikan sekatan ini ditarik balik,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa larangan perjalanan ke AS menghalangnya daripada membentangkan laporan kepada Perhimpunan Agung PBB, selain tidak dapat membuka akaun bank.
Pada Ogos lalu, beberapa pakar PBB memberi amaran bahawa sekatan AS terhadap Albanese mengancam sistem hak asasi manusia global, sebulan selepas Washington mengumumkan sekatan ke atas pelapor khas itu berhubung usahanya mendorong tindakan ICC terhadap pegawai AS dan Israel. -AGENSI










