Illinois kuatkuasa undang-undang baharu lindungi migran

Illinois kuatkuasa undang-undang baharu lindungi migran

SEKUMPULAN penunjuk perasaan menyertai demonstrasi berhampiran kem tahanan Imigresen dan Kastam di Broadview, Illinois.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ILLINOIS: Penduduk Illinois kini boleh menyaman ejen imigresen Persekutuan sekiranya percaya hak sivil mereka dicabuli selepas Gabenornya, JB Pritzker menandatangani undang-undang baharu sebagai reaksi terhadap peluasan penguatkuasaan imigresen di seluruh negara oleh pentadbiran Presiden, Donald Trump.

Rang undang-undang yang diluluskan badan perundangan negeri bulan lalu itu mengehadkan tindakan penguatkuasaan imigresen di luar bangunan mahkamah negeri dan membenarkan plaintif menuntut ganti rugi.

Ia juga melarang sekolah daripada mengugut untuk mendedahkan status kewarganegaraan sama ada sebenar atau yang disangka bagi kakitangan, pelajar atau individu berkaitan kepada pihak luar.

“Dengan tandatangan saya hari ini, kita melindungi individu dan institusi yang menjadi sebahagian daripada Illinois. 

“Menghantar anak ke pusat jagaan harian, berjumpa doktor atau menghadiri kelas tidak seharusnya menjadi tugas yang mengubah hidup,” kata Pritzker, seorang Demokrat yang dilihat sesetengah pihak sebagai calon berpotensi untuk pilihan raya Presiden 2028.

Jurucakap Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Tricia McLaughlin menuduh Pritzker melanggar Perlembagaan Amerika Syarikat (AS) dan sumpah jawatannya apabila beliau menandatangani undang-undang itu.

Undang-undang tersebut berkuat kuasa serta-merta dan merupakan respons terhadap agenda imigresen agresif Trump, yang menyasarkan bandar-bandar AS seperti Chicago, Los Angeles dan New York.

Trump turut berusaha menghantar anggota Pengawal Kebangsaan ke Chicago bagi menguatkuasakan apa yang digambarkannya sebagai usaha membanteras jenayah. 

Trump sekian lama mengkritik kadar jenayah di Chicago walaupun data bandar itu menunjukkan kebanyakan kategori jenayah ganas menurun tahun ini.

Illinois berulang kali menolak usaha pentadbiran Trump untuk menghantar Pengawal Kebangsaan dan meningkatkan tangkapan imigresen di negeri itu.

“Illinois yang berdepan kekejaman dan intimidasi, memilih solidariti dan sokongan.

“Trump, ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem dan Ketua Pasukan Peronda Sempadan AS, Gregory Bovino cuba meraih sokongan menerusi naluri buruk manusia. 

“Namun yang terbaik dalam kalangan kita sedang bangkit menentang yang terburuk,” kata Pritzker. -REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×