WASHINGTON: Tindakan dan kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sepanjang tahun pertama penggal keduanya mencetuskan kontroversi apabila didakwa sarat dengan unsur perkauman dan xenofobia iaitu ‘takut’ terhadap orang asing.
Selepas kembali ke Rumah Putih, Trump menandatangani beberapa perintah eksekutif yang menyasarkan dasar kepelbagaian, ekuiti dan keterangkuman (DEI). Langkah itu membawa kepada ribuan pemberhentian kerja di sektor awam dan swasta, selain menjejaskan program berkaitan kaum dan jantina di institusi persekutuan.
Trump juga mengarahkan pembiayaan Persekutuan dihentikan bagi pameran Smithsonian yang menyentuh isu perkauman serta menukar semula nama gunung Denali (nama tradisional orang asli) kepada Mount McKinley.
Dalam beberapa ucapannya, Trump melontarkan kenyataan keras berkaitan isu kaum dan imigresen. Pada Januari lalu, beliau mencadangkan penempatan semula rakyat Palestin dengan berkata, ‘lebih baik membina perumahan di lokasi lain supaya mereka boleh hidup aman’.
Mengenai Somalia, Trump pernah menyatakan ‘Somalia bukan sebuah negara, mereka tidak mempunyai apa-apa un, mereka hanya berbunuhan sesama sendiri. Saya tidak mahu mereka berada di AS’.
Isu imigresen kekal menjadi tumpuan apabila Trump secara terbuka menyokong pengusiran besar-besaran. Dalam satu hantaran media sosial, beliau menulis, ‘saya suka bau pengusiran pada waktu pagi,” manakala dalam ucapan lain beliau menyifatkan beberapa negara sebagai ‘lubang neraka’.
Trump juga kerap menyerang wanita, khususnya wartawan dan tokoh agama. Dalam satu kenyataan, beliau pernah memarahi seorang wartawan dengan menyatakan ‘ia bukan tentang soalan, tetapi sikap anda. Anda seorang wartawan dan manusia yang teruk’.
Penganalisis politik menyifatkan corak kenyataan dan dasar Trump itu sebagai gaya kepimpinan konfrontasi yang berpotensi meningkatkan ketegangan sosial.










