NEW YORK: Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) semalam membenarkan rekod juri besar daripada kes pemerdagangan seks melibatkan Jeffrey Epstein pada 2019 didedahkan kepada umum.
Keputusan itu sekali gus membuka jalan kepada pendedahan dokumen berprofil tinggi yang lama dituntut mangsa.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Richard M. Berman susulan penguatkuasaan Akta Ketelusan Fail Epstein yang diluluskan Kongres dan ditandatangani Presiden Donald Trump.
Undang-undang baharu tersebut kini mengatasi kebimbangan privasi yang sebelum ini menghalang dokumen berkenaan daripada dilepaskan kepada publik.
“Keselamatan dan kerahsiaan mangsa tetap menjadi keutamaan. Identiti mereka akan terus dilindungi,” tegas Berman dalam keputusannya.
Antara dokumen yang akan didedahkan ialah sekitar 70 muka surat transkrip juri besar berkaitan siasatan terhadap Epstein dan rakan rapatnya, Ghislaine Maxwell.
Walaupun hakim menyatakan kandungan transkrip itu ‘tidak begitu mendedahkan’, keputusan tersebut dianggap langkah penting bagi memberi gambaran lebih jelas mengenai rangkaian eksploitasi seksual yang dikaitkan dengan Epstein serta individu lain yang mungkin terlibat.
Mangsa-mangsa juga menegaskan pendedahan ini diperlukan, namun menuntut jaminan identiti mereka tidak terdedah.
Epstein, tokoh kewangan yang didakwa bagi tuduhan pemerdagangan seks pada Julai 2019, ditemui mati dalam sel penjara sebulan kemudian ketika menunggu perbicaraan.
Keputusan terkini ini juga menyusuli arahan seorang hakim lain di Manhattan yang sebelum ini mengarahkan pendedahan dokumen berkaitan kes pemerdagangan seks Maxwell pada 2021.
Pihak Jabatan Kehakiman AS dijangka mengeluarkan dokumen berkenaan dalam masa terdekat, dengan beberapa bahagian disunting bagi melindungi maklumat sensitif mangsa.
Pendedahan rekod ini diyakini mampu membantu merungkai sejauh mana jaringan jenayah Epstein beroperasi dan siapa lagi yang mungkin terbabit dalam skandal yang menggoncang institusi politik serta kewangan AS.










