HILO: Gunung berapi Kilauea di Hawaii kembali menunjukkan aktifnya apabila ia meletus semula dengan hamburan lava mengalir deras dari kawah Halemaʻumaʻu pada Sabtu, menandakan episod letusan terbaharu sejak beberapa minggu lalu.
Menurut Balai Pemerhatian Gunung Berapi Hawaii (HVO), letusan bermula sekitar 8.45 pagi waktu tempatan, dengan dua lubang letusan dikesan memuntahkan lava ke lantai kawah.
Fenomena itu turut disertai pancutan lava dramatik yang mencecah lebih 30 meter, sekali gus menghasilkan pemandangan menakjubkan dari kawasan sekitar.
Letusan kali ini merupakan episod ke-38 sejak Kilauea kembali aktif pada Disember 2024, menjadikan gunung berapi itu terus menjadi antara titik tumpuan utama pemantauan geologi di Hawaii.
Walaupun aktiviti letusan terkawal dan kekal dalam kawasan Taman Negara Gunung Berapi Hawaii, pihak berkuasa memberi amaran mengenai pelepasan gas berbahaya termasuk sulfur dioksida serta pembentukan ‘vog’ iaitu kabus berasid yang boleh menjejaskan kualiti udara dan kesihatan penduduk berhampiran.
Buat masa ini, tiada kawasan berpenduduk yang berada dalam ancaman, namun pelawat diingatkan supaya mematuhi arahan keselamatan dan menjauhi zon larangan yang ditetapkan.
Gentian kaca semula jadi yang dikenali sebagai “rambut Pele” juga berisiko terbentuk akibat pancutan lava, yang boleh menyebabkan iritasi kulit dan masalah pernafasan.
Gunung Kilauea, yang terletak di Pulau Besar Hawaii, merupakan antara gunung berapi paling aktif di dunia dan sering menjadi tumpuan penyelidik serta pelancong. Letusan terbaharunya sekali lagi menggambarkan kehebatan kuasa geologi bumi serta kepentingan pemantauan berterusan terhadap aktiviti gunung berapi di rantau itu.










