TALLAHASSEE: Gabenor Florida, Ron DeSantis, menandatangani satu perintah eksekutif yang mengisytiharkan kumpulan hak sivil Islam antara paling terkenal di Amerika Syarikat (AS), Council on American-Islamic Relations (CAIR) sebagai organisasi pengganas asing.
Lapor Reuters, tindakan itu menjadikan beliau Gabenor Republikan kedua yang mengambil langkah berprofil tinggi sedemikian dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Cawangan Florida CAIR mengumumkan saman mencabar perintah itu pada satu sidang media di Tampa, di mana Pengarah Eksekutif Interim cawangan tersebut, Hiba Rahim menyifatkan perintah itu sebagai fitnah dan tidak berperlembagaan.
“Untuk gabenor kami, penetapan anda tiada asas dari segi undang-undang atau fakta,” katanya.
Perintah DeSantis mendakwa CAIR mempunyai hubungan dengan pejuang Hamas namun menafikan tuduhan itu.
Bulan lalu, Gabenor Texas, Greg Abbott mengambil langkah serupa terhadap CAIR dan perintah itu turut dicabar di mahkamah persekutuan di Texas sebagai usaha tidak berperlembagaan untuk menghukum organisasi itu semata-mata kerana pandangan mereka.
DeSantis memberitahu wartawan, beliau menyambut baik saman itu kerana ia memberi peluang kepada negeri untuk meneliti rekod kewangan dan dokumen lain CAIR sebagai sebahagian daripada penemuan undang-undang.
Seperti Abbott, perintah DeSantis turut menamakan Ikhwanul Muslimin yang ditubuhkan di Mesir sebagai organisasi pengganas asing.
Kerajaan AS belum mengisytiharkan CAIR atau Ikhwanul Muslimin sebagai organisasi pengganas asing, tetapi Presiden, Donald Trump bulan lalu memulakan proses itu untuk beberapa cawangan Ikhwanul Muslimin, termasuk di Lebanon, Mesir dan Jordan.
Perintah Florida mengarahkan agensi kerajaan mengambil tindakan bagi menghalang CAIR daripada menerima kontrak, pekerjaan atau dana negeri.
CAIR ditubuhkan pada 1994 dan mempunyai cawangan di hampir 24 negeri di AS.










