WASHINGTON: Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS (FDA) sedang menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kematian yang berkemungkinan berkaitan dengan vaksin Covid-19, menurut jurucakap bagi Setiausaha Kesihatan.
Sejak pelantikan Robert F. Kennedy Jr. sebagai Setiausaha Kesihatan, kerajaan AS memulakan penstrukturan semula dasar vaksin secara besar-besaran, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti perubatan.
“FDA sedang menjalankan siasatan menyeluruh, merangkumi pelbagai kumpulan umur, terhadap kematian yang berkemungkinan berkaitan vaksin Covid,” kata jurucakap Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia, Andrew Nixon.
Sebelum ini, Bloomberg dan Washington Post turut melaporkan mengenai siasatan ini.
Kajian yang pada awalnya bertujuan menumpukan pada kemungkinan kematian kanak-kanak itu menimbulkan kontroversi sejak beberapa minggu lalu selepas kebocoran dokumen dalaman pada akhir November.
Dokumen itu, yang dikaitkan dengan pegawai kanan FDA, mendakwa vaksin Covid19 dikaitkan dengan sekurang-kurangnya 10 kematian bayi, tanpa memberikan sebarang bukti.
Menurut pelbagai pihak berkuasa kesihatan global, keberkesanan dan keselamatan vaksin Covid-19 dikaji dan didokumenkan di seluruh dunia, termasuk kes-kes jarang kesan sampingan serius yang tidak menjejaskan manfaat vaksin bagi kebanyakan kumpulan umur.
Nixon enggan menyatakan kaedah, data dan jangka masa untuk siasatan ini diselesaikan.
Pakar menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan FDA di bawah Kennedy Jr. yang terkenal kerana didakwa sering menyebarkan teori konspirasi.
Pada 2023, Kennedy Jr. mendakwa vaksin itu berbahaya dan tanpa bukti mengatakan virus itu sendiri disasarkan secara etnik untuk membahayakan orang kulit hitam dan putih, tetapi menghindarkan Yahudi serta rakyat China.-AFP










