STATESVILLE: Bekas pemandu NASCAR, Greg Biffle, bersama tiga ahli keluarganya dipercayai antara tujuh individu yang terkorban dalam nahas pesawat di Lapangan Terbang Wilayah Statesville, Carolina Utara, Khamis pagi.
Menurut kenyataan bersama keluarga mangsa, Biffle, 55, maut bersama isterinya, Cristina, anak lelaki mereka, Ryder, serta anak perempuan hasil perkahwinan terdahulu, Emma.
Tiga lagi mangsa dikenal pasti sebagai Dennis Dutton, anaknya Jack Dutton, dan Craig Wadsworth.
Pesawat jet perniagaan jenis Cessna Citation yang dinaiki mereka cuba berpatah balik untuk mendarat selepas berlepas sebelum terhempas pukul 10.15 pagi waktu tempatan.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) memaklumkan siasatan dimulakan bagi mengenal pasti punca kejadian, manakala pengurus lapangan terbang, John Ferguson, mengesahkan operasi lapangan terbang ditangguhkan sementara waktu susulan insiden berkenaan.
Biffle merupakan antara tokoh terkenal sukan permotoran Amerika Syarikat dan disenaraikan sebagai salah seorang daripada “75 Pemandu Terhebat NASCAR”.
Beliau pernah bersaing dalam Siri Piala NASCAR dari 2003 hingga 2016.
Keluarga mangsa menyatakan kesedihan mendalam atas kehilangan tersebut dan menggambarkan Biffle serta Cristina sebagai ibu bapa penyayang yang menumpukan kehidupan mereka kepada keluarga.
Insiden itu mencetuskan kejutan dalam komuniti perlumbaan, dengan NASCAR turut menyampaikan ucapan takziah dan menyifatkan Biffle sebagai ikon sukan yang meninggalkan legasi besar dalam dunia perlumbaan.
Punca sebenar nahas masih dalam siasatan dan pihak berkuasa setakat ini belum mengesahkan sama ada faktor teknikal atau cuaca menyumbang kepada tragedi berkenaan.










