JAKARTA: Pulau Sumatera dmemerlukan sebanyak 51.82 trilion rupiah (AS$3.11 bilion atau RM12.82 bilion) bagi tujuan pembinaan semula dan pemulihan selepas banjir dan tanah runtuh.
Setakat Isnin, bencana cuaca itu telah meragut 950 nyawa dengan 274 lagi hilang. Bencana sama turut menjejaskan Thailand dan Malaysia dengan kira-kira 200 korban.
Ketua Agensi Mitigasi Bencana Indonesia, Suharyanto berkata, dana pemulihan diperlukan di tiga wilayah terjejas iaitu Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat, dan jumlah itu mungkin meningkat apabila penilaian kerosakan diteruskan.
Aceh memerlukan dana paling besar, berjumlah 25.41 trilion rupiah (RM6.27 bilion), manakala Sumatera Utara dan Sumatera Barat masing-masing memerlukan 12.88 trilion (RM3.18 bilion) dan 13.52 trilion rupiah (RM3.34 bilion).
Suharyanto berkata proses pembinaan semula akan bermula di kawasan yang telah pulih dengan agak baik di Sumatera Utara dan Sumatera Barat.
Penduduk yang tinggal di pusat pemindahan akan dipindahkan ke rumah sementara bersaiz 40 meter persegi yang dibina kerajaan sebelum ditempatkan ke rumah tetap yang disediakan Kementerian Perumahan.
Presiden Prabowo Subianto menekankan pengurusan dana pemulihan akan dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan semua bantuan sampai kepada penduduk yang terjejas.
Beliau berkata pengiraan awal kos pemulihan adalah “serupa” tetapi tidak memperincikan mengenai kelulusan perbelanjaan rasmi.
Keadaan di beberapa kawasan masih serius dengan sawah padi, empangan dan sejumlah besar kediaman terjejas teruk.
Pemimpin tempatan melaporkan banyak rumah perlu dibina semula, manakala cabaran lain termasuk pengagihan ubat-ubatan dan pakaian kepada mangsa banjir.
Suharyanto menegaskan kerajaan komited mempercepatkan proses pemulihan dan memastikan keselamatan serta keselesaan penduduk diutamakan sepanjang pelaksanaan projek pembinaan semula.
Beliau juga menambah bahawa pemindahan penduduk dan bantuan segera merupakan langkah awal sebelum pembinaan rumah tetap dijalankan.










