ACEH: Banjir besar yang melanda beberapa negara Asia termasuk Indonesia, Thailand, Sri Lanka, Malaysia dan Vietnam meragut lebih 1,100 nyawa selepas hujan monsun bergabung dengan siklon tropika, menyapu rumah, harta benda dan memusnahkan seluruh komuniti.
Di Sumatra sahaja lebih 600 maut, menjadikan bencana kali ini antara paling buruk dalam sejarah rantau itu.
Di Aceh, Indonesia, ramai penduduk tidak sempat menyelamatkan apa-apa ketika air tiba-tiba melimpah dengan arus deras.
Aminah Ali, 63, terpaksa berlindung di atas bumbung rumah selama 24 jam selepas kampungnya ditenggelami air setinggi tiga meter.
Seorang lagi penduduk, Busra Ishak, 60, kehilangan rumah apabila dihanyutkan arus yang disifatkannya ‘cukup kuat untuk membunuh gajah’.
Di Thailand, bandar Hat Yai antara kawasan paling teruk terjejas dengan sekurang-kurangnya 176 korban.
Mangsa, Natchanun Insuwano, terperangkap bersama ibu bapanya selama tiga hari tanpa bekalan makanan mencukupi dan hanya sebotol air untuk diminum.
Keluarga itu menyelar kelewatan amaran pihak berkuasa yang menyebabkan orang ramai tidak sempat berpindah.
Seorang lagi penduduk Hat Yai, Chutikan Panpit, 32, hampir maut selepas dipatuk ular kapak Sumatera ketika memeriksa paras air.
Dia tidak dapat ke hospital selama 32 jam kerana laluan ditenggelami banjir, dan menyifatkan kesakitan yang dialami lebih teruk daripada melahirkan anak. Banyak mangsa kini trauma kerana hanya bunyi hujan sudah cukup mengundang ketakutan.
Di Sumatera, sebanyak 11 jambatan terputus dan beberapa kampung terus terputus hubungan. Walaupun pasukan penyelamat mula memasuki kawasan terjejas, penduduk mengadu kekurangan makanan dan air bersih. Puluhan ribu rumah turut musnah, dengan jalan dipenuhi perabot rosak, kayu pecah dan lumpur tebal.
Ramai mangsa kini berlindung di pusat pemindahan dan bergantung kepada sumbangan orang ramai. Ada yang kembali ke kediaman untuk mencari sisa harta yang masih tinggal.
Menurut penduduk Aceh, bencana kali ini jauh lebih dahsyat daripada banjir sebelum ini, dengan ramai menyifatkannya sebagai “tragedi terburuk dalam sejarah”.










