WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) merampas sebuah kapal tangki minyak bersaiz besar berhampiran perairan Venezuela, tindakan yang Presiden Donald Trump sifatkan sebagai rampasan terbesar pernah dilakukan negara itu.
Caracas mengecam keras tindakan tersebut sebagai ‘kecurian terang-terangan’ serta ‘lanun antarabangsa’, sekali gus meningkatkan ketegangan yang sedia memuncak antara kedua-dua negara.
Rakaman video yang dikongsi Peguam Negara AS, Pam Bondi, menunjukkan anggota tentera turun dari sebuah helikopter ke geladak kapal sebelum memasuki ruang kawalan dengan senjata terhunus.
Bondi mendakwa kapal berkenaan beroperasi dalam rangkaian penghantaran minyak haram yang membawa minyak yang dikenakan sekatan dari Venezuela dan Iran. Media AS melaporkan kapal itu dipercayai menuju ke Cuba sebelum dipintas Pengawal Pantai AS.
Rampasan tersebut berlaku ketika Washington meningkatkan kehadiran armada tenteranya di Caribbean, yang menurut Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, bertujuan menggugat pemerintahannya.
Dalam masa sama, AS turut melancarkan serangan terhadap lebih 20 bot yang didakwa terlibat dalam penyeludupan dadah, mengorbankan lebih 87 individu.
Perkembangan itu muncul sehari sebelum pemimpin pembangkang Venezuela dan penerima Hadiah Keamanan Nobel, Maria Corina Machado, dijadualkan tampil secara terbuka di Oslo selepas berbulan-bulan bersembunyi kerana ancaman terhadap keselamatannya.
Venezuela sebelum ini memberi amaran Machado boleh ditahan sebagai pelarian sekiranya cuba kembali ke negara itu, namun Trump menegaskan beliau tidak akan “senang” sekiranya Caracas bertindak demikian.
Dalam majlis penyampaian anugerah Nobel di Norway, ucapan Machado dibacakan oleh anaknya, yang menyifatkan pemerintah Maduro sebagai mengamalkan “keganasan negara” dan menyeru rakyat Venezuela terus berjuang menuntut kebebasan.
Washington pula terus meningkatkan tekanan dengan menuduh Maduro mengetuai “Kartel Matahari” dan menyatakan kemungkinan tindakan ketenteraan tidak boleh diketepikan.










