AS rangka 'Zon Ekonomi Trump' di Selatan Lubnan

AS rangka ‘Zon Ekonomi Trump’ di Selatan Lubnan

KENDERAAN PBB melalui papan tanda bandar Naqoura di kawasan selatan Lubnan berhampiran sempadan Israel.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Pejabat menantu dan penasihat kanan Presiden Amerika Syarikat (AS), Jared Kushner dilaporkan menyediakan peta terperinci untuk satu projek yang digelar ‘Zon Ekonomi Trump’ di selatan Lubnan.

Menurut laporan kolumnis, Tarek Abou Zeinab dalam akhbar harian Lubnan, Nidaa Al-Watan, pelan Kushner itu sudah dikemukakan secara rasmi kepada Rumah Putih untuk pertimbangan. 

Kolum itu memetik sumber tidak dinamakan, menyatakan idea ini kini bukan lagi sekadar bisikan dalam kalangan politik, sebaliknya sudah memasuki perbincangan konkrit berkaitan sempadan dengan matlamat mempercepat pelaksanaannya dalam agenda Asia Barat pentadbiran AS.

Lubnan kini berdepan dengan krisis politik berpanjangan. Kawasan selatan negara itu masih banyak di bawah pengaruh Hezbollah, manakala Israel menguasai sekurang-kurangnya lima pos sempadan yang terletak di tanah berdaulat Lubnan.

Menurut sumber Nidaa Al-Watan, konsep AS ini melihat selatan Lubnan sebagai pintu utama untuk transformasi ekonomi yang lebih luas, menghubungkan projek pelaburan besar dan infrastruktur dengan pengaturan keselamatan di lapangan.

Pelan yang dilaporkan itu bertujuan menarik modal antarabangsa, menubuhkan kilang dan hab logistik, menaik taraf infrastruktur, serta membina pelabuhan yang dihubungkan dengan laluan perkapalan global. 

Ia juga disasarkan membuka saluran eksport baharu melalui model zon bebas dan menarik syarikat tenaga besar dengan menghubungkan selatan Lubnan ke projek lebih luas seperti Koridor Ekonomi India–Asia Barat–Eropah.

Penyokong pelan ini berhujah ia mampu meningkatkan pelaburan Arab dan antarabangsa, meningkatkan taraf hidup dan mencipta pekerjaan jangka panjang, sekali gus mengurangkan risiko konflik baharu.

Namun, sumber politik dan media Lubnan yang dipetik oleh akhbar itu memberi amaran cadangan tersebut menggunakan pendekatan hegemoni baharu dan mempunyai implikasi politik besar yang tidak boleh diabaikan.

Pengkritik berkata, visi AS ini melangkaui pembangunan, termasuk kemungkinan penubuhan penempatan Yahudi di beberapa bahagian selatan Lubnan, dengan alasan agama dan keselamatan bagi melindungi utara Israel.

Sumber berkata, langkah itu juga boleh mewujudkan hubungan geografi dan simbolik antara Israel dan selatan Lubnan, meningkatkan kebimbangan mengenai kedaulatan negara dan hala tuju politik rantau itu.

Harian itu menyatakan Kushner memberi fokus kepada kawasan dari Gunung Hermon hingga Shebaa dan Naqoura di selatan, ketika Israel menuntut zon penampan di sempadan atas alasan keselamatan sejak tamatnya pertempuran besar dengan Hezbollah pada November 2024. 

Zon yang dicadangkan itu meliputi lebih 27 bandar di selatan, menimbulkan persoalan tentang kedaulatan Lubnan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN