AS optimis rundingan damai Ukraine hampir selesai, Russia persoal isu wilayah Donbas - Utusan Malaysia

AS optimis rundingan damai Ukraine hampir selesai, Russia persoal isu wilayah Donbas

PASUKAN penyelamat Ukraine berusaha memadam kebakaran di sebuah bangunan kediaman selepas serangan udara Russia di Zaporizhzhia, selatan Ukraine.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Duta khas Amerika Syarikat (AS) ke Ukraine yang bakal berundur, Keith Kellogg berkata, perjanjian untuk menamatkan perang Ukraine kini sangat hampir dicapai dan hanya bergantung kepada penyelesaian dua isu utama. Namun, Kremlin menegaskan beberapa cadangan AS memerlukan perubahan radikal.

Presiden AS, Donald Trump yang sering menyatakan hasrat untuk dikenang sebagai presiden pendamai, mengakui usaha menamatkan konflik paling berdarah di Eropah sejak Perang Dunia Kedua itu kekal sebagai cabaran dasar luar paling sukar bagi pentadbirannya.

Russia menceroboh Ukraine pada Februari 2022 selepas lapan tahun pertempuran antara pemisah yang disokong Moscow dan tentera Ukraine di Donbas, yang merangkumi wilayah Donetsk dan Luhansk.

Kellogg, yang dijangka berundur pada Januari berkata pada Forum Pertahanan Nasional Reagan bahawa usaha menyelesaikan konflik itu kini berada pada fasa terakhir, yang disifatkannya sebagai fasa paling mencabar.

Menurutnya, dua isu utama yang masih berlarutan ialah soal wilayah khususnya masa depan Donbas serta masa depan loji tenaga nuklear Zaporizhzhia, loji nuklear terbesar di Eropah yang kini di bawah kawalan Russia.

“Jika kita dapat selesaikan dua isu itu, saya fikir perkara lain boleh diselesaikan dengan baik,” katanya pada Sabtu di Perpustakaan dan Muzium Presiden Ronald Reagan di Simi Valley, California.

“Kita hampir sampai. Kita benar-benar sangat hampir,” tambahnya.

Selepas Presiden Vladimir Putin mengadakan pertemuan selama empat jam di Kremlin minggu lalu dengan utusan khas Trump, Steve Witkoff, dan menantu Trump, Jared Kushner, pembantu dasar luar Putin, Yuri Ushakov berkata, ‘masalah wilayah’ turut dibincangkan.

Frasa itu merujuk kepada tuntutan Russia ke atas keseluruhan Donbas, walaupun Ukraine masih menguasai sekurang-kurangnya 5,000 kilometer persegi kawasan tersebut. Hampir semua negara mengiktiraf Donbas sebagai sebahagian daripada Ukraine.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy berkata, penyerahan baki wilayah Donetsk tanpa referendum adalah tidak sah dan akan membuka laluan kepada Russia untuk melancarkan serangan lebih jauh ke dalam Ukraine pada masa hadapan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×