AS lancar serangan berskala besar perangi IS di Syria

AS lancar serangan berskala besar perangi IS di Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) memaklumkan tenteranya melancarkan ‘serangan besar-besaran’ ke atas kumpulan Negara Islam (IS) di Syria, sebagai tindak balas serangan maut terhadap anggotanya di negara itu.

Komando Pusat AS (Centcom) berkata, jet pejuang, helikopter serangan dan artileri menyerang lebih 70 sasaran di beberapa lokasi di seluruh Syria tengah, dengan pesawat Jordan turut terlibat dalam operasi itu.

Centcom berkata, operasi itu menggunakan lebih 100 peluru berpandu tepat, menyasarkan infrastruktur dan tapak senjata IS yang diketahui.

Presiden, Donald Trump berkata, serangan berskala besar ke atas kubu kuat IS dibuat susulan serangan mengejut pasukan itu pada 13 Disember di bandar Palmyra yang mengorbankan dua tentera dan seorang jurubahasa awam AS.

Dalam satu kenyataan di X, Centcom, yang mengarah operasi ketenteraan AS di Asia Barat, Afrika Timur, Asia tengah dan selatan, berkata Operasi Hawkeye Strike dilancarkan pada Jumaat.

Komander Centcom, Brad Cooper berkata, AS akan terus memburu pengganas yang berhasrat mencederakan rakyat Amerika dan sekutunya di seluruh rantau itu.

Ketua Balai Cerap Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), Rami Abdel Rahman memberitahu AFP, sekurang-kurangnya lima anggota kumpulan IS terbunuh di wilayah Deir ez Zor, timur Syria, termasuk ketua sel yang bertanggungjawab untuk dron di kawasan itu.

Agensi berita milik kerajaan Jordan, Petra, melaporkan Tentera Udara Diraja Jordan turut menyertai serangan itu bagi menghalang kumpulan ekstremis daripada mengancam keselamatan jiran Syria dan serantaunya.

Sementara itu, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth berkata, operasi tersebut ‘bukan permulaan peperangan, ia adalah pengisytiharan dendam’.

“Jika anda menyasarkan rakyat Amerika, di mana-mana sahaja di dunia, anda akan menghabiskan sisa hidup anda yang singkat dan penuh ketakutan dengan mengetahui Amerika Syarikat akan memburu anda, menemui anda dan membunuh anda tanpa belas kasihan.

“Hari ini, kami memburu dan membunuh musuh-musuh kami. Ramai daripada mereka. Dan kami akan meneruskannya,” kata Hegseth.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan kumpulan IS masih mempunyai antara 5,000 hingga 7,000 pejuang di Syria dan Iraq.

Tentera AS mengekalkan kehadiran di Syria sejak 2015 untuk membantu melatih pasukan lain sebagai sebahagian daripada kempen menentang IS.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN