LIMA: Sekurang-kurangnya 12 orang, termasuk tiga kanak-kanak maut apabila tanah runtuh menimbus dua bot di pelabuhan Iparia, wilayah Ucayali, Peru tengah, manakala puluhan lagi hilang, menurut pihak berkuasa, Isnin.
Menurut laporan polis yang dipetik oleh agensi berita Andina, tanah runtuh itu menenggelamkan kedua-dua bot yang berlabuh di pelabuhan berkenaan, dengan anggaran 50 penumpang berada di atas satu bot manakala bot kedua kosong.
Kapten Tentera Laut, Jonathan Novoa, berkata sembilan mayat ditemui, 25 orang cedera, manakala kira-kira 40 individu masih hilang.
Pihak berkuasa kini bekerjasama dengan keluarga mangsa bagi mengenal pasti jumlah sebenar yang masih dicari.
Rakaman televisyen UTV Noticias memaparkan orang ramai kelihatan panik di tebing sungai sambil beg dan barangan dari bot yang tenggelam terapung di perairan.
Pusat Operasi Kecemasan Kebangsaan (COEN) menyatakan tragedi berlaku pada waktu subuh akibat hakisan tebing Sungai Ucayali. Tentera Laut telah dikerahkan untuk membantu usaha menyelamat, yang dipersulitkan arus deras dan pusaran air.
“Ini musim banjir dan ketika kejadian terdapat kabus tebal, menyebabkan operasi menyelamat lebih mencabar,” kata Novoa kepada AFP.









