NEW YORK CITY: Calon Demokrat, Zohran Mamdani dipilih menjadi Datuk Bandar New York ke-111 selepas menewaskan bekas gabenor, Andrew Cuomo dan calon Republikan Curtis Sliwa, sekali gus mencipta sejarah sebagai datuk bandar Muslim pertama di bandar itu.
Pada usia 34 tahun, beliau juga menjadi datuk bandar termuda AS dalam tempoh lebih satu abad.
Kemenangannya menandakan kebangkitan luar biasa daripada seorang penggubal undang-undang negeri yang kurang dikenali kepada pemimpin bandar terbesar di AS.
Zohran mengekalkan kedudukan mendahului sejak mengejutkan ramai apabila menewaskan Cuomo, bekas gabenor tiga penggal, dalam pemilihan awal Parti Demokrat pada Jun lalu.
Datuk Bandar semasa, Eric Adams yang bertanding untuk penggal kedua sebagai calon bebas, menarik diri daripada perlumbaan pada September. P
Para penyokong Zohran yang bersorak gembira turut disertai ahli Kongres Demokrat, Alexandria Ocasio-Cortez dan Pengawal Kewangan New York City, Brad Lander.
Senator, Bernie Sanders, ahli bebas dari Vermont yang membesar di Brooklyn, turut meraikan kemenangan Mamdani.
“Selepas bermula hanya dengan satu peratus dalam tinjauan awal, Zohran mencipta antara kejutan politik terbesar dalam sejarah moden AS.
“Kita BOLEH membina kerajaan yang mewakili golongan pekerja, bukan golongan satu peratus.
“Saya menantikan kerjasama dengan Zohran untuk membangun sebuah bandar yang berfungsi untuk semua,” kata Sanders, yang menyokong tokoh sosialis Demokrat itu pada Jun menerusi hantaran di X.
Kemenangan Zohran sebagai Datuk Bandar New York menandakan kemuncak kebangkitan luar biasa oleh ahli politik berhaluan kiri yang sebelum ini kurang dikenali.
Beliau dilahirkan di Uganda dalam keluarga berketurunan India dan menetap di AS sejak berusia tujuh tahun, sebelum menjadi warganegara pada 2018.
Anak kepada pengarah filem terkenal, Mira Nair dan Pakar Afrika yang dihormati, Prof. Mahmood Mamdani itu menjadikan sesetengah pengkritiknya melabel beliau sebagai ‘nepo baby’ atau anak yang berjaya kerana pengaruh keluarga.
Antara perjuangan beliau adalah untuk menjadikan New York lebih mampu didiami bagi golongan bukan berada iaitu majoriti daripada kira-kira 8.5 juta penduduknya, sebagai teras kempen pilihan raya.
Janji lain termasuk kawalan sewa lebih ketat, penjagaan kanak-kanak dan perkhidmatan bas percuma, serta pasar raya komuniti yang diuruskan bandar.










