Virginia, New Jersey pilih gabenor wanita Demokrat

Virginia, New Jersey pilih gabenor wanita Demokrat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

STAFFORD: Amerika Syarikat (AS) mencatat sejarah apabila pengundi di Virginia dan New Jersey memilih gabenor wanita daripada Parti Demokrat, buat pertama kali dalam sejarah kedua-dua negeri.

Di New Jersey, ahli Kongres Demokrat, Mikie Sherrill memenangi persaingan untuk jawatan gabenor, menurut unjuran media AS.

Pemilihan ini dilihat sebagai ujian awal terhadap tahap sokongan rakyat terhadap Presiden, Donald Trump setahun selepas kemenangan semula beliau ke Rumah Putih.

Sherrill, bekas juruterbang Tentera Laut yang menonjolkan latar belakang keselamatan negara dalam kempen beliau, menewaskan ahli perniagaan Republikan dan bekas ahli Dewan Undangan Negeri, Jack Ciattarelli.

Kejayaan Sherrill menjadikannya g­abenor wanita pertama daripada Parti Demokrat di New Jersey.

Sementara itu di Virginia, calon Demokrat, Abigail Spanberger yang juga bekas anggota Kongres dan pegawai Agensi Perisikan Pusat (CIA) merampas jawatan gabenor daripada Parti Republikan.

Kemenangan itu turut mengangkat beliau sebagai g­abenor wanita pertama Virginia, menandakan kebangkitan semula sokongan kepada Demokrat menjelang pilihan raya pertengahan penggal tahun depan bagi menentukan kawalan Kongres.

Di New York pula, tumpuan kini terarah kepada pemilihan calon Demokrat, Zohran Mamdani, 34, yang berusaha menjadi datuk bandar termuda New York dalam tempoh satu abad, selain berpotensi menjadi datuk bandar Muslim pertama di bandar raya itu.

Zohran, seorang demokrat sosialis, berdepan persaingan dengan bekas Gabenor, Andrew Cuomo, yang bertanding sebagai calon bebas dan calon Republikan, Curtis Sliwa.

Trump sebelum ini memberi amaran pentadbiran persekutuan mungkin memotong pembiayaan untuk New York City sekiranya Zohran menang.

Pilihan raya ini dianggap sebagai ujian politik besar pertama era penggal kedua Trump.

Menurut tinjauan awal CNN exit poll, majoriti pengundi dalam empat perlumbaan utama dilaporkan menyatakan ketidakpuasan terhadap Trump.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN