Riyadh mahu negara Palestin ditubuhkan sebelum normalisasi dengan Israel

Riyadh mahu negara Palestin ditubuhkan sebelum normalisasi dengan Israel

SEORANG wanita Palestin menyidai pakaian di celah runtuhan bangunan di Gaza City. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman (MBS) menyatakan hasrat Riyadh untuk menyertai Perjanjian Abraham ketika bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Rumah Putih kelmarin.

Namun, beliau menegaskan keperluan memastikan laluan jelas ke arah penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Dalam sesi bersama wartawan di Pejabat Oval, Mohamed berkata, Arab Saudi bersedia menyertai inisiatif normalisasi tersebut, tetapi mengutamakan jaminan proses yang membawa kepada penubuhan negara Palestin dapat dipastikan terlebih dahulu.

Perjanjian Abraham ialah satu siri perjanjian diplomatik yang dimeterai pada tahun 2020 antara Israel dan beberapa negara Arab, dengan perantaraan AS untuk normalisasi hubungan dua hala.

Negara yang menandatangani Perjanjian Abraham ialah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan Maghribi.

Trump berkata, perbincangan mereka mengenai Perjanjian Abraham amat positif dan kedua-dua pihak turut menyentuh sama ada penyelesaian satu negara atau dua negara lebih sesuai.

Namun beliau enggan menyatakan komitmen rasmi, sebaliknya menegaskan Mohamed mempunyai ‘pendirian yang baik’ terhadap perjanjian berkenaan.

Mohamed berkata, Arab Saudi mahu keamanan dicapai antara rakyat Israel dan Palestin serta mahu kedua-duanya hidup bersama secara aman di rantau tersebut.

Pendiriannya itu selari dengan syarat lama Riyadh yang berulang kali menegaskan normalisasi dengan Israel hanya boleh berlaku selepas wujud laluan yang jelas, logik dan kukuh menuju penyelesaian dua negara.

Namun, prospek kemajuan ke arah normalisasi masih kabur apabila kepimpinan Israel, termasuk Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan anggota kabinetnya menyatakan penolakan mutlak terhadap pembentukan sebuah negara Palestin.

Keengganan tersebut menjadi cabaran utama kepada tuntutan Riyadh dalam mana-mana perjanjian akan datang.

Mohamed juga memaklumkan Arab Saudi akan membantu proses pembinaan semula Gaza, walaupun jumlah sumbangan masih belum diputuskan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN