WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menarik balik tarikh akhir 27 November yang ditetapkannya sebelum ini untuk Ukraine bersetuju dengan pelan damai yang dianggap lebih memihak kepada Russia.
Bercakap kepada pemberita kelmarin, Trump berkata, rundingan antara AS, Russia dan Ukraine menunjukkan kemajuan, di mana Moscow bersetuju dengan beberapa konsesi.
“Tarikh akhir bagi saya ialah apabila ia selesai,” katanya dalam pesawat Air Force One ketika dalam penerbangan ke Florida.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan konsesi berkenaan.
Laporan mengenai rangka kerja untuk menamatkan perang yang didedahkan minggu lalu, mencetuskan kebimbangan baharu pentadbiran Trump mungkin sanggup mendesak Ukraine untuk menandatangani perjanjian damai yang lebih menguntungkan Moscow.
Trump berkata, utusan khasnya, Steve Witkoff dan menantunya, Jared Kushner akan ke Moscow dalam masa terdekat untuk bertemu Presiden Russia, Vladimir Putin.
Kedua-dua ‘orang kanan’ Trump itu merupakan individu yang sebelum ini membantu merundingkan perjanjian Gaza sehingga membawa kepada gencatan senjata rapuh dalam perang Israel-Hamas.
Minggu lalu, Trump menetapkan 27 November sebagai tarikh yang diharapkannya untuk melihat Ukraine bersetuju dengan perjanjian bagi menamatkan perang Russia ke atas negara itu.
Namun, beliau dan pasukannya menarik balik tarikh akhir itu dan mendakwa mereka mahu perjanjian dicapai secepat mungkin.
Trump berkata, Russia dilihat mempunyai kelebihan dalam perang dan mencapai perjanjian adalah demi kepentingan terbaik untuk Ukraine.
Beliau juga berkata, beberapa wilayah Ukraine ‘mungkin tetap akan dikuasai Russia’ dalam beberapa bulan akan datang.
Menurut Presiden AS itu, jaminan keselamatan untuk Ukraine sedang dirundingkan bersama negara-negara Eropah.
UKRAINE LEBIH BERHATI-HATI
Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menegaskan kesediannya meneruskan rangka kerja untuk menamatkan perang dan membincangkan beberapa pertikaian dengan Trump dalam rundingan yang menurutnya perlu melibatkan sekutu Eropah.
Pegawai AS dan Ukraine berusaha merapatkan perbezaan mereka mengenai ‘pelan damai’ Trump, dengan Ukraine lebih berhati-hati supaya tidak dipaksa menerima perjanjian tersebut.
Dalam salinan ucapan kepada gabungan sekutu yang dilihat Reuters, Zelensky mendesak pemimpin Eropah untuk membentuk rangka kerja bagi mengerahkan ‘pasukan jaminan keselamatan’ ke Ukraine dan terus menyokongnya selagi Russia tidak menunjukkan komitmen menamatkan perang yang hampir mencecah empat tahun.
“Kami yakin keputusan keselamatan mengenai Ukraine mesti melibatkan Ukraine, keputusan keselamatan mengenai Eropah mesti melibatkan Eropah.
“Kerana apabila sesuati diputuskan di belakang sebuah negara atau rakyatnya, risiko kegagalan itu sentiasa tinggi,” kata Zelensky dalam teks ucapan tersebut.
Menurutnya, rangka sudah dibentangkan dan Ukraine bersedia untuk bergerak maju bersama AS dengan penglibatan peribadi Trump.
Seorang diplomat Ukraine memberi amaran konsesi wilayah kekal sebagai titik pertikaian utama, menjadikan perjanjian muktamad masih jauh daripada pasti walaupun terdapat persetujuan mengenai beberapa perkara tertentu.
“Ini benar-benar soalan yang sukar bagi kami,” kata diplomat itu.
Zelensky mungkin akan mengunjungi AS dalam beberapa hari akan datang bagi memuktamadkan perjanjian dengan Trump, kata ketua keselamatan negara Ukraine, Rustem Umerov, pada Selasa, walaupun tiada pengesahan segera mengenai lawatan tersebut daripada pihak AS.
Seorang pegawai Ukraine berkata, Kyiv menyokong intipati rangka kerja itu, namun beberapa isu paling sensitif masih kekal sebagai perkara untuk perbincangan antara presiden.
Harga minyak terus menurun susulan laporan Ukraine berpotensi bersetuju dengan perjanjian yang menamatkan perang.
TEKANAN UNTUK UKRAINE, ZELENSKY
Dasar AS terhadap perang berubah-ubah dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Sidang kemuncak yang diatur secara tergesa-gesa antara Trump dan Putin di Alaska pada Ogos, menimbulkan kebimbangan Kyiv serta Eropah mengenai Washington mungkin menerima banyak tuntutan Russia, walaupun pertemuan itu akhirnya menghasilkan tekanan AS yang lebih kuat terhadap Moscow.
Pelan damai Trump mahukan Ukraine menyerahkan wilayah melebihi hampir 20 peratus yang dikuasai Russia sejak pencerobohan pada Februari 2022, selain mengehadkan saiz tentera dan melarang Kyiv menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Syarat demikian sejak sekian lama ditolak oleh Ukraine kerana dianggap seperti ‘menyerah kalah’.
Desakan itu meningkatkan lagi tekanan ke atas Ukraine dan Zelensky, yang kini dalam kedudukan goyah sejak permulaan perang selepas skandal rasuah menyebabkan dua menterinya dipecat.
Zelensky mungkin berdepan kesukaran meyakinkan rakyat Ukraine menerima perjanjian yang dilihat sebagai mengkhianati kepentingan mereka.
Serangan berterusan Russia ke atas Ukraine membuat ramai skeptikal tentang bagaimana keamanan boleh dicapai dalam masa terdekat.
Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov berkata, pelan damai yang dipinda mesti mencerminkan semangat serta isi persefahaman yang dicapai antara Putin dan Trump semasa sidang di Alaska.
“Jika semangat dan isi Anchorage dipadankan dari segi persefahaman utama yang kita tentukan, maka sudah tentu, ia akan menjadi situasi berbeza untuk Russia,” katanya.










