WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan kesediaannya membantu Datuk Bandar New York yang baharu dipilih, Zohran Mamdani, namun memberi amaran pemimpin muda berhaluan kiri itu perlu menghormati kerajaan persekutuan jika mahu berjaya.
Kenyataan itu dibuat Trump pada Rabu, sehari selepas Mamdani mengumumkan barisan pasukan peralihannya, susulan kejayaannya mencipta sejarah sebagai Datuk Bandar Muslim dan rakyat Asia Selatan pertama yang menerajui bandar terbesar di AS.
Mengulas ucapan kemenangan Mamdani yang berikrar untuk menentang Trump, Presiden AS itu menyifatkan kenyataan tersebut sebagai bahaya.
“Dia perlu sedikit menghormati Washington, kerana jika tidak, dia tidak akan mempunyai peluang untuk berjaya,” kata Trump dalam wawancara bersama Bret Baier dari Fox News.
“Saya mahu dia berjaya, saya mahu bandar itu berjaya,” tambah Trump sebelum memperbetulkan ucapannya dengan menegaskan beliau merujuk kepada kejayaan Bandar New York, bukan Mamdani secara peribadi.
Terdahulu dalam satu ucapan di Forum Perniagaan Amerika di Miami, Florida, Trump menyatakan pentadbirannya akan membantu Mamdani, walaupun dalam nada sinis beliau menuduh pemimpin muda itu sebagai seorang komunis.
“Golongan komunis, Marxis dan globalis telah diberi peluang, dan mereka hanya membawa kehancuran. Sekarang kita lihat bagaimana seorang komunis mengurus New York. Kita akan lihat bagaimana hasilnya nanti,” kata Trump.
“Kita akan bantu dia sedikit… kita mahu New York berjaya,” tambahnya lagi.
Sebelum pilihan raya Datuk Bandar New York yang berlangsung pada Selasa, Trump giat menyerang Mamdani dengan melabelnya sebagai komunis gila serta mengancam untuk memotong peruntukan persekutuan kepada bandar itu sekiranya beliau menang.
Mamdani, yang berkempen atas platform sosialis demokratik, menolak tuduhan tersebut dan menegaskan ideologinya berbeza daripada komunisme disamping manifestonya termasuk penjagaan kanak-kanak percuma, pengangkutan awam percuma, serta kedai runcit dikendalikan kerajaan.
Kemenangan Mamdani bukan sahaja bererti perubahan besar di New York, tetapi turut dilihat sebagai ujian penting kepada Parti Demokrat, yang kini berdepan cabaran mendamaikan perbezaan antara kumpulan centrist dan progresif dalam parti itu bagi menghadapi pengaruh politik Trump yang semakin kuat. -AGENSI










