Trump rancang aktiviti penerokaan minyak, gas besar-besaran - Utusan Malaysia

Trump rancang aktiviti penerokaan minyak, gas besar-besaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump merancang membuka berjuta-juta batu persegi kawasan perairan pesisir negara itu untuk aktiviti penerokaan minyak dan gas, sekali gus berpotensi mencetuskan peningkatan besar dalam pengeluaran bahan api fosil.

Langkah tersebut bercanggah dengan pendirian kebanyakan negara maju yang kini semakin mengiktiraf kesan perubahan iklim akibat aktiviti manusia.

Di bawah rancangan baharu Jabatan Dalam Negeri AS, sebanyak 34 jualan pajakan bakal ditawarkan melibatkan kawasan seluas 1.27 bilion ekar, bersamaan keluasan hutan Amazon.

Cadangan itu merangkumi perairan di utara Alaska yang belum pernah diterokai sebelum ini, kawasan di Teluk Mexico yang kini digelar pentadbiran Trump sebagai “Teluk Amerika” serta perairan luar pesisir California.

Setiausaha Dalam Negeri, Doug Burgum menegaskan pentadbiran Biden sebelum ini telah memperlahankan aktiviti pajakan luar pesisir sehingga menjejaskan momentum jangka panjang industri tenaga negara.

Menurut Burgum, pengeluaran tenaga luar pesisir memerlukan masa dan pelaburan besar, dan rancangan agresif yang dibentangkan adalah penting bagi memastikan industri tenaga AS kekal kukuh serta mengekalkan kedudukan negara itu sebagai kuasa tenaga global “untuk dekad akan datang.”

Trump pula terus menolak agenda tenaga boleh diperbaharui dengan menggelarnya sebagai “penipuan”, malah berkali-kali menyifatkan sains perubahan iklim sebagai helah.

Cadangan perluasan penggerudian ini dijangka menghadapi tentangan sengit di dalam negara, khususnya dari California yang menegaskan akan menghalang sebarang usaha penggerudian di perairan negeri berkenaan.

Gabenor Gavin Newsom menyifatkan pelan Trump sebagai “idiotik” dan berbahaya kepada ekonomi serta komuniti pesisir pantai yang pernah merasai kesan tumpahan minyak.

Penentangan turut dijangka di Teluk Mexico, yang masih trauma dengan tragedi tumpahan minyak Deepwater Horizon 2010 yang memusnahkan sektor pelancongan dan perikanan.

Senator Florida, Rick Scott, turut menyatakan bantahan keras, menegaskan perairan negeri itu perlu dilindungi demi sektor pelancongan, alam sekitar dan kepentingan latihan ketenteraan.

Pentadbiran Trump sebelum ini menarik AS keluar daripada perjanjian antarabangsa berkaitan perubahan iklim, dan tidak menghantar delegasi rasmi ke sidang COP30 di Brazil, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa langkah baharu ini akan terus mengasingkan Washington daripada usaha global memerangi perubahan iklim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN