Trump mengaku jadi 'dalang' serangan Israel terhadap Iran - Utusan Malaysia

Trump mengaku jadi ‘dalang’ serangan Israel terhadap Iran

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa beliau memainkan peranan penting dalam serangan mengejut Israel terhadap Iran pada 13 Jun lalu, yang menyasarkan kemudahan nuklear dan ketenteraan republik Islam itu.

“Israel menyerang dahulu. Serangan itu sangat kuat. Saya benar-benar mengawal sepenuhnya serangan itu,” katanya ketika ditemui media di Washington semalam.

Trump turut menggambarkan hari serangan itu sebagai ‘hari yang hebat buat Israel’, sambil menyatakan tindakan berkenaan memberi impak lebih besar berbanding semua serangan terdahulu yang pernah dilakukan rejim Zionis.

Kenyataan Trump itu bagaimanapun bertentangan dengan pendirian rasmi Washington sebelum ini, yang menegaskan Israel bertindak secara unilateral tanpa penglibatan langsung AS

Menurut laporan, serangan Israel pada 13 Jun lalu menyasarkan kemudahan nuklear utama dan pangkalan ketenteraan Iran, menyebabkan beberapa jeneral kanan serta saintis nuklear negara itu terbunuh.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan ratusan peluru berpandu ke arah Israel termasuk ke Tel Aviv, selain menyerang pangkalan tentera AS di Qatar.

Susulan serangan balas itu, AS turut campur tangan dengan melancarkan serangan udara ke atas tiga kemudahan nuklear utama Iran – Fordow, Natanz dan Isfahan, menggunakan bom penembus bunker seberat 30,000 paun dalam operasi dinamakan Operation Midnight Hammer.

Trump menyifatkan operasi itu sebagai “kejayaan ketenteraan yang spektakular” dan mendakwa kemudahan nuklear Iran telah “dimusnahkan sepenuhnya.”

Pada peringkat awal konflik, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio menegaskan Israel bertindak sendiri tanpa sebarang pembabitan tentera AS.

Namun, kenyataan Trump kemudian mencetuskan kekeliruan apabila beliau memaklumkan tahu semuanya dan ‘mengawal serangan itu’.

Iran masih belum mengeluarkan penilaian rasmi terhadap tahap kerosakan kemudahan nuklearnya, namun pegawai di Teheran menegaskan program nuklear negara itu tetap diteruskan berdasarkan kepakaran sedia ada.

Kerajaan Iran juga menolak sebarang rundingan yang menyentuh isu peluru berpandu dan pengaruh serantau, selain menegaskan program nuklear awamnya tidak akan dihentikan walaupun diancam peperangan.

Walaupun ketegangan masih memuncak, Trump menyatakan hasrat untuk mencapai perjanjian baharu dengan Iran yang menurutnya boleh membuka jalan kepada hubungan rasmi antara Tehran dan Tel Aviv.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN